
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Malaysia merekodkan 32.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026.
- Peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
- Kerajaan memperuntukkan RM935 juta kepada MOTAC termasuk kempen Melawat Malaysia 2026 hingga 2027, tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.
- MyCEB terus meneruskan usaha menarik acara antarabangsa; suku kedua mencatat peningkatan acara 81.2% dan delegasi 105.2%.
- Sektor MICE mencatatkan peningkatan 113.7% kepada RM1.24 bilion; RM10 juta diperuntukkan untuk tarik acara MICE dan sukan berimpak tinggi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Demi mengekalkan momentum ini, kerajaan memperuntukkan RM935 juta kepada MOTAC, termasuk bagi kempen Melawat Malaysia dari 2026 hingga 2027.
“Memandangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 masih dibahaskan, perancangan peruntukan (bagi kementerian ini) adalah tertakluk kepada keputusan akhir Kementerian Kewangan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, meskipun konflik di Asia Barat memberi kesan terhadap perancangan perjalanan pelancong, kerajaan akan terus mempergiat promosi pelancongan menggunakan peruntukan sedia ada.
Kementeriannya menerusi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) turut meneruskan usaha menarik penganjuran acara antarabangsa ke Malaysia.
Pada suku kedua tahun ini, jumlah acara antarabangsa meningkat 81.2 peratus kepada 125 acara, manakala jumlah delegasi antarabangsa melonjak 105.2 peratus kepada 83,596 orang.
“Sementara itu, sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) mencatatkan peningkatan sebanyak 113.7 peratus kepada RM1.24 bilion.
“Bagi menyokong pertumbuhan itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan kepada MyCEB untuk menarik lebih banyak penganjuran acara MICE serta kejohanan sukan antarabangsa berimpak tinggi ke Malaysia,” katanya.