Pendidikan antirasuah dekati generasi muda melalui teknologi

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Azizul Ahmad Sarkawi (dua,kiri) ketika sesi dialog sempena Program Santai Media di Pejabat SPRM Negeri Perak / Foto BERNAMA

IPOH, 27 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak mempergiat pendidikan antirasuah dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan kreatif yang memanfaatkan teknologi semasa, termasuk kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan antirasuah perlu disesuaikan dengan minat generasi muda melalui teknologi maklumat dan kecerdasan buatan.
  • Pengisian program harus lebih dekat dengan generasi muda, bukan aktiviti tradisional seperti caklempong.
  • SPRM meneliti isu tatakelola dan memberi khidmat nasihat untuk memperbaiki sistem dan prosedur pentadbiran.
  • Kerjasama agensi kerajaan dan pihak berkepentingan diperkukuh, dan media digalakkan liput pendidikan antirasuah secara seimbang.

Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi berkata, pendekatan itu perlu disesuaikan dengan kecenderungan generasi muda yang lebih tertarik kepada teknologi maklumat bagi memupuk budaya integriti dan meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan rasuah.

“Pengisian-pengisian yang lebih dekat dengan generasi muda pada masa sekarang. Kita tak boleh nak ajak mereka main caklempong untuk menarik minat mereka.

“Jadi, pendekatan antirasuah perlu dipertingkatkan dari segi teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) kerana generasi sekarang lebih tertarik dengan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Azizul berkata demikian pada Program Santai Media dan Sesi Dialog bersama Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) di Pejabat SPRM Perak, di sini.

Sementara itu, SPRM Perak turut meneliti isu tatakelola dan memberikan khidmat nasihat kepada agensi kerajaan bagi menambah baik sistem serta prosedur pentadbiran.

Usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri, badan berkanun, majlis daerah dan pejabat tanah bagi memperkukuh integriti dalam pentadbiran.

Beliau turut berharap media dapat memperluas liputan aktiviti pendidikan masyarakat dan pencegahan rasuah supaya usaha berkenaan mendapat perhatian seimbang dengan laporan penguatkuasaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.