
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Cadangan pindaan bersasar terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sedang diteliti sebagai langkah peralihan sebelum pemansuhan penuh akta berkenaan dilaksanakan.
- Pindaan tertumpu pada peruntukan mahasiswa di Seksyen 15 hingga 16B untuk memastikan manfaat dan peruntukan segera semasa pemuktamadan rangka undang-undang baharu.
- Autonomi kewangan MPP diperluas kepada badan pelajar dan persatuan mulai semester satu 2026/2027, termasuk tadbir urus, penerimaan sumbangan dan penjanaan pendapatan.
- Cadangan memansuhkan Seksyen 16 AUKU untuk mencabut kuasa Naib Canselor menggantung atau membubarkan persatuan, memperkukuh hak penubuhan dan penyertaan mahasiswa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pindaan itu akan memberi tumpuan kepada peruntukan berkaitan mahasiswa di bawah Seksyen 15 hingga Seksyen 16B bagi memastikan manfaat dan peruntukan segera dapat disalurkan sementara menunggu pemuktamadan kerangka perundangan baharu.
“Pada masa yang sama, autonomi kewangan yang sebelum ini diberikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan diperluas kepada badan pelajar serta persatuan di kampus bermula semester satu sesi akademik 2026/2027.
“Perluasan ini merangkumi kebebasan dalam tadbir urus kewangan, penerimaan sumbangan dan penjanaan pendapatan organisasi,” katanya.
Beliau berkata, antara cadangan utama yang sedang diperhalusi ialah pemansuhan Seksyen 16 AUKU bagi menggugurkan kuasa Naib Canselor untuk menggantung atau membubarkan persatuan serta badan pelajar.
Langkah itu bertujuan memperkukuh hak mahasiswa untuk menubuhkan dan menyertai pertubuhan, selain menggerakkan aktiviti organisasi secara lebih bebas.
KPT turut menegaskan bahawa proses penggubalan undang-undang baharu akan terus mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, khususnya mahasiswa bagi membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan inklusif.