
JAKARTA, 27 Oktober – Indonesia dan Singapura merancang menubuhkan pasukan petugas bersama bagi memastikan syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan di Indonesia dipertanggungjawabkan susulan krisis jerebu rentas sempadan yang menjejaskan beberapa negara jiran.
- Pertemuan antara Menteri Luar Indonesia dan Singapura mencapai persetujuan mengenai tindakan lanjut.
- Kerjasama akan menumpukan perkongsian maklumat, risikan kewangan, pengumpulan bukti rentas sempadan dan pemulihan aset.
- Kebakaran hutan menghapuskan lebih 1.9 juta hektar dalam sembilan bulan hingga September, mencetuskan jerebu berbahaya.
- Singapura menegaskan jerebu bukan fenomena semula jadi dan berpunca daripada tindakan manusia.
Perkara itu dipersetujui dalam pertemuan antara Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir dan rakan sejawatannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan, di sini.
Arrmanatha berkata, pasukan berkenaan akan memperkukuh kerjasama dalam perkongsian maklumat, risikan kewangan dan pengumpulan bukti rentas sempadan.
“Kami membincangkan penubuhan pasukan petugas bersama bagi memperkukuh tanggungjawab perniagaan.
“Ia akan menghubungkan perkongsian maklumat, risikan kewangan dan pengumpulan bukti rentas sempadan, serta jika boleh, usaha mendapatkan semula aset,” katanya.
Balakrishnan pula memaklumkan, Singapura bersetuju dengan cadangan itu dan menyifatkannya sebagai amaran kepada semua syarikat yang terbabit.
Indonesia berdepan kebakaran hutan selama beberapa bulan, dengan pemantau penyahhutanan Nusantara Atlas menganggarkan lebih 1.9 juta hektar kawasan musnah dalam tempoh sembilan bulan hingga September.
Jerebu akibat kebakaran itu menyebabkan pencemaran udara mencecah paras berbahaya di beberapa kawasan Indonesia selain menjejaskan Malaysia, Singapura dan Timor-Leste.
Krisis berkenaan turut mendorong ASEAN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pencemaran jerebu rentas sempadan.
Arrmanatha menegaskan rakyat Indonesia sendiri menjadi mangsa pertama kebakaran hutan dan tanah berkenaan.
Balakrishnan turut bersetuju rakyat Indonesia paling awal dan paling teruk terjejas, namun menegaskan jerebu bukan fenomena semula jadi seperti El Nino.
“Kebakaran hutan dan tanah berpunca daripada tindakan manusia,” tegasnya.
Pertemuan kedua-dua menteri itu berlangsung beberapa hari selepas Indonesia mengumumkan pengurangan sebahagian eksport gas asli ke Singapura.
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak menyentuh isu berkenaan dalam kenyataan selepas pertemuan.
Pengawal selia huluan minyak dan gas Indonesia, SKK Migas sebelum ini mengumumkan pengurangan eksport gas ke Singapura sebanyak 31 juta kaki padu standard sehari bagi mengutamakan permintaan domestik.
Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) memaklumkan, pengurangan itu bersamaan kurang dua peratus daripada jumlah permintaan gas harian negara berkenaan.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong pada Ahad menggesa semua pihak menghormati kontrak komersial dan berkata Singapura akan mengambil langkah perlu bagi melindungi hak serta kepentingannya.
Menteri Tenaga Indonesia, Bahlil Lahadalia bagaimanapun menafikan Jakarta melanggar mana-mana kontrak. – AFP