Utusan khas ASEAN ke Myanmar perkukuh usaha tangani krisis

Sihasak Phuangketkeow / Foto AFP

BANGKOK, 27 Oktober – Utusan khas ASEAN ke Myanmar, Maria Theresa Lazaro dijadual mengadakan lawatan ke Naypyidaw pada 28 dan 29 Oktober 2026 sebagai sebahagian usaha libat urus serantau terhadap krisis di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sihasak harap Lazaro lapor perkembangan positif kepada menteri luar ASEAN semasa mesyuarat di Manila.
  • Lazaro, bekas Setiausaha Luar Filipina, mahu memperluas akses bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik dalam Myanmar.
  • Tiada kepastian sama ada beliau akan bertemu Aung San Suu Kyi; permintaan akses ringkas Filipina sebelum ini ditolak.
  • Suu Kyi bertemu wakil ICRC pada Ogos, dan anaknya dibenarkan telefon buat pertama kali dalam lebih lima tahun.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, butiran lawatan termasuk jadual pertemuan Lazaro sedang diperincikan.

“Beliau ke sana sebagai utusan khas ASEAN dan kami berharap akan ada perkembangan positif serta kemajuan yang boleh beliau laporkan apabila menteri-menteri luar ASEAN bertemu di Manila sebelum Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media bersama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala Ke-16 (JCM-16) dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama Bagi Kawasan Sempadan Ke-7 (JDS-7) Malaysia-Thailand, di sini.

Mengulas lanjut, Sihasak berkata, Lazaro yang juga Setiausaha Luar Filipina sebelum ini memaklumkan hasrat untuk melawat Myanmar bagi memperluas akses bantuan kemanusiaan di negara yang terus berdepan konflik dalaman sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

Setakat ini, belum ada petunjuk sama ada beliau akan bertemu bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang masih ditahan sejak digulingkan dalam rampasan kuasa berkenaan.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN sebelum ini meminta akses singkat bagi utusannya untuk bertemu Suu Kyi, namun permintaan itu ditolak.

Pada Ogos, Suu Kyi dilaporkan bertemu wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), iaitu pertemuan pertamanya dengan pegawai asing yang dimaklumkan kepada umum sejak beliau digulingkan pada 2021.

Susulan itu, Filipina mengulangi gesaan supaya Suu Kyi dibebaskan sepenuhnya dan tanpa syarat, selain terus meminta akses kepadanya.

Dalam perkembangan berkaitan, anak lelaki Suu Kyi, Kim Aris dibenarkan bercakap dengannya melalui telefon pada Khamis lalu buat pertama kali dalam tempoh lebih lima tahun.

Aris yang berpangkalan di United Kingdom berkata, ibunya kedengaran berada dalam keadaan agak sihat, namun beliau masih bimbang mengenai keadaannya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.