SAR remaja dikhuatiri dibaham buaya diperluas

SAR giat dijalankan

SEBUYAU, 27 Oktober – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohamad Nordin Mohamad Othman, 13 tahun yang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Plaie Ulu Sebuyau, masih belum menemukan sebarang petunjuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi SAR diperluas meliputi kawasan seluas lima kilometer persegi, termasuk sungai dan ladang kelapa sawit.
  • Sekitar 1.30 tengah hari, seekor buaya dikesan mengunyah sesuatu; pengejaran gagal apabila ia kembali tenggelam.
  • Seramai 40 anggota agensi keselamatan termasuk tiga kakitangan Perbadanan Perhutanan Sarawak terlibat dalam operasi.

Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Sarawak, Muhamad Mirza Dzzalmira Miraj berkata, operasi yang berakhir pada pukul 5 petang tadi telah diperluas meliputi kawasan seluas lima kilometer persegi, termasuk sungai dan ladang kelapa sawit.

Bagaimanapun, pasukan SAR masih belum menemui sebarang jejak buaya atau pakaian milik mangsa.

“Sekitar pukul 1.30 tengah hari, pasukan SAR mengesan seekor buaya timbul di tengah sungai dalam keadaan sedang mengunyah sesuatu, namun tidak dapat memastikan objek yang berada di dalam mulut haiwan itu,” katanya ketika dihubungi RTM di Kuching.

Usaha mengejar buaya berkenaan bagaimanapun gagal apabila haiwan itu kembali tenggelam ke dalam sungai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang pada Isnin, mangsa dipercayai disambar buaya ketika melakukan kerja pemunggahan buah kelapa sawit ke dalam perahu.

Bapa saudara mangsa yang menyaksikan kejadian itu bagaimanapun tidak berjaya menyelamatkannya.

Susulan kejadian itu, operasi SAR diaktifkan bagi mengesan mangsa.

Seramai 40 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan terlibat dalam operasi berkenaan, termasuk tiga kakitangan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.