
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Siasatan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan polis kini diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Siasatan kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.
- Satu seksyen di bawah Kanun Keseksaan dikenal pasti sebagai asas siasatan.
- Kementerian tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang‑undang atau salah laku anggota penguat kuasa.
- Noorizwan ditahan bagi siasatan dadah dan jenayah, dirujuk ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu seksyen di bawah Kanun Keseksaan turut dikenal pasti untuk dijadikan asas siasatan.
Beliau menegaskan Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau salah laku, termasuk yang melibatkan anggota penguat kuasa sendiri.
Katanya, prinsip itu akan terus dipertahankan bagi memastikan setiap dakwaan salah laku disiasat dan ditangani secara adil serta telus.
“Prinsip yang sama akan diguna pakai, dengan mengambil kira kewajaran serta pemahaman tentang perkara yang betul dan salah.
Untuk makluman, siasatan kini telah diambil alih JSJ dan satu seksyen di bawah Kanun Keseksaan turut dikenal pasti sebagai asas siasatan.
Ini menunjukkan tiada sebarang usaha atau tindakan untuk menutup kes berkenaan, sebaliknya siasatan akan diteruskan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Terdahulu, Allahyarham Noorizwan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Allahyarham dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras pada 30 September lalu, untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.