Anggota risik Maritim Malaysia maut dalam operasi memburu PATI

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa (kanan) bercakap pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis hari ini / Foto RTM

KUALA PERLIS, 27 Oktober – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut selepas dipercayai tercampak keluar dan terhentak pada bongkah konkrit ketika bot dinaikinya bersama pasukan, terlibat dalam perlanggaran semasa operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot suspek memecut ke arah pantai, mencetuskan aksi kejar dan perlanggaran; bot Maritim menghimpit batu sekitar 50 meter dari pantai.
  • Lima anggota Maritim cuba menahan bot disyaki membawa PATI dalam operasi itu.
  • Tiga anggota cedera dalam kejadian, termasuk seorang mengalami patah tangan.
  • Maritim menahan sembilan PATI warga Myanmar (tujuh lelaki, dua wanita) dan dua individu dipercayai tekong.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, anggota berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala, namun punca kematian masih menunggu pengesahan pihak hospital.

“Secara fizikal, kita nampak dia mengalami kecederaan di bahagian kepala, di bahagian dahi, antara dahi dengan garis rambut. Namun, punca kematian hanya dapat ditentukan oleh pihak hospital.

“Daripada kecederaan yang dilihat, saya percaya apabila dia tercampak keluar, kemungkinan besar dia terlanggar bongkah konkrit. Bongkah konkrit itu tidak kelihatan ketika air pasang, lebih-lebih lagi pada waktu malam,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lima anggota Maritim Malaysia cuba menahan sebuah bot yang disyaki membawa PATI.

Bagaimanapun, bot suspek bertindak memecut laju menuju ke arah pantai, mencetuskan aksi kejar-mengejar sebelum berlaku perlanggaran yang menyebabkan bot Maritim Malaysia menghimpit batu kira-kira 50 meter dari pantai.

Kejadian itu turut menyebabkan tiga anggota Maritim Malaysia cedera, termasuk seorang yang mengalami patah tangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Maritim Malaysia Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Dalam operasi sama, Maritim Malaysia berjaya menahan sembilan PATI warga Myanmar, terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita, serta dua individu yang dipercayai bertindak sebagai tekong bot berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.