MOF sekat stesen minyak disyaki salah guna BUDI MADANI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kementerian Kewangan (MOF) menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang, daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah program BUDI MADANI susulan pengesanan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima subsidi buat laporan polis selepas MyKad mereka digunakan tanpa kebenaran.
  • Semakan rekod mendapati lebih 1,000 transaksi pintasan manual, melibatkan lebih 100,000 liter dan subsidi melebihi RM270,000.
  • MOF menahan bayaran subsidi lebih RM270,000 dan menyekat sembilan individu sementara tindakan susulan dijalankan.

MOF dalam kenyataan memaklumkan, beberapa penerima subsidi membuat laporan polis selepas mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa kebenaran.

Semakan rekod transaksi stesen minyak berkenaan mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, membabitkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.

“Susulan itu, MOF turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak berkenaan yang berjumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sembilan individu, termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka, disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi BUDI MADANI sementara tindakan susulan dilaksanakan.

Menurut MOF, beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan itu turut dikenal pasti, manakala rekod transaksi mereka sedang diteliti.

Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya mereka didapati terbabit dalam penyalahgunaan subsidi.

“Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasarannya, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api.

“Kerajaan sentiasa memantau transaksi BUDI MADANI dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi,” jelas MOF.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.