KPDN Selangor rekod 2,198 kes, rampasan cecah RM10.35 juta

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari (kiri) ketika sidang media / Foto KPDN Selangor

SHAH ALAM, 27 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merekodkan 2,198 kes di bawah akta yang dikuatkuasakan sepanjang 2026, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM10.35 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • 143 kes barang kawalan direkodkan dengan nilai rampasan RM4.03 juta.
  • Dua kes penyelewengan LPG melalui decanting, rampasan RM93,133; pemeriksaan dan audit berkala terhadap kira-kira 50 pemborong LPG.
  • Penguatkuasaan Op Tiris 4.0 dipertingkatkan; tindakan tegas terhadap sindiket, denda dan hukuman berat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Daripada jumlah itu, sebanyak 143 kes melibatkan barang kawalan direkodkan dengan nilai rampasan RM4.03 juta.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, dua daripada kes berkaitan barang kawalan itu melibatkan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) menerusi kaedah pemindahan gas atau decanting, dengan nilai rampasan berjumlah RM93,133.

“Sehubungan itu, KPDN Selangor akan mempertingkatkan pemeriksaan dan audit berkala terhadap kira-kira 50 pemborong LPG di seluruh negeri bagi memperkukuh pemantauan rantaian pengedaran gas bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan dan syarat lesen yang ditetapkan, selain membendung penyelewengan yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna serta bekalan gas bersubsidi kepada rakyat

“KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Penguatkuasaan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) akan dipertingkatkan bagi membendung kegiatan berkenaan sekali gus menyelamatkan subsidi negara,” katanya.

KPDN turut mengingatkan individu dan syarikat supaya mematuhi perundangan berkaitan barang kawalan. Pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya disabitkan kesalahan.

Bagi individu, kesalahan boleh membawa denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, syarikat atau badan berkanun boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta, manakala denda bagi kesalahan berulang boleh mencecah RM5 juta.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan dan barangan bersubsidi diminta menyalurkannya kepada KPDN untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.