
SHAH ALAM, 27 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seberat kira-kira 1,600 kilogram bernilai RM150,000 dalam serbuan di sebuah stor haram di ladang kelapa sawit di Sungai Pelek, Sepang.
- Tiga lelaki, termasuk pemilik premis tempatan dan dua warga asing, ditahan untuk membantu siasatan.
- Operasi membongkar pemindahan LPG subsidi dari tong 14 kilogram ke tong komersial 50 kilogram untuk dipasarkan kepada industri.
- Serbuan menyita 207 tong LPG pelbagai kapasiti, sebuah lori bonded, hos penyambung dan beg plastik berisi ais.
- Siasatan tertumpu pada rantaian pembekalan dari pemborong berlesen dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki, terdiri daripada seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik premis berusia lingkungan 20-an serta dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an dan 30-an, bagi membantu siasatan.
“Serbuan menerusi Op Tiris 4.0 pada pukul 9 pagi itu berjaya membongkar kegiatan pemindahan gas LPG bersubsidi daripada tong berkapasiti 14 kilogram kepada tong komersial 50 kilogram.
Pemeriksaan mendapati kegiatan berkenaan dipercayai bertujuan menjual LPG dalam tong komersial kepada pihak industri pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan penguat kuasa turut menyita kira-kira 207 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram, dengan jumlah berat gas dianggarkan 1,600 kilogram.
Sebuah lori bonded yang ditemukan di lokasi turut disita.
Katanya, antara peralatan yang ditemukan ialah hos penyambung dan beberapa beg plastik berisi ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas menggunakan kaedah konvensional.
Siasatan awal mendapati, bekalan LPG bersubsidi itu dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen di sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.
Sehubungan itu, KPDN Selangor akan menumpukan siasatan terhadap rantaian pembekalan bagi mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], termasuk Seksyen 21 dibaca bersama Peraturan 3(1), berkaitan pemilikan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah berlakunya urus niaga tanpa lesen sah,” katanya lagi.