NRES perkukuh pemetaan risiko bencana menerusi AI, data raya

Syed Ibrahim Syed Noh/ RTM

KUALA LUMPUR 27 Oktober- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh pemetaan risiko bencana negara menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya, selain pemasangan 34 sistem amaran awal (EWS) di lokasi cerun berisiko tinggi di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemetaan bahaya dan risiko cerun meliputi hampir 3,000 km2, membolehkan pengesanan awal serta menyokong perancangan dan kesiapsiagaan.
  • JMG menggunakan GIS, penderiaan jauh, InSAR dan LiDAR, maklumat diurus melalui MyGEMS dan NaSIS bagi perkongsian serta penilaian risiko.
  • GeoSlide ialah sistem analitik data raya yang menggabungkan data hujan dan geologi untuk mempertingkat penilaian risiko tanah runtuh.
  • METMalaysia memperkukuh pemantauan dan ramalan cuaca ekstrem, gempa bumi serta tsunami menggunakan radar, satelit dan stesen pencerapan.

Timbalan Menterinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pemetaan bahaya dan risiko cerun oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) kini meliputi hampir 3,000 kilometer persegi termasuk kawasan tanah tinggi dan Kundasang, Sabah.

Beliau berkata pemetaan itu membolehkan kawasan berisiko tanah runtuh dikenal pasti lebih awal, sekali gus menyokong perancangan pembangunan dan meningkatkan kesiapsiagaan penduduk.

“Bagi memperkukuh ketepatan pemetaan, JMG menggunakan teknologi GIS (Sistem Maklumat Geografi), penderiaan jauh, Interferometric Synthetic Aperture Radar (InSAR) dan Light Detection and Ranging (LiDAR).

“Maklumat yang diperoleh diuruskan melalui platform geospatial sedia ada, iaitu Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia (MyGEMS) dan National Terrain and Slope Information System (NaSIS) bagi menyokong perkongsian maklumat serta penilaian risiko bencana yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 34 EWS berkenaan dilengkapi peralatan pemantauan, siren dan lampu amaran bagi meningkatkan kesiapsiagaan penduduk di kawasan berisiko.

Selain itu, JMG turut membangunkan sistem analitik data raya GeoSlide yang menggunakan data hujan dan geologi untuk meningkatkan keberkesanan penilaian risiko tanah runtuh.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) terus memperkukuh pemantauan dan ramalan cuaca ekstrem, gempa bumi serta tsunami menerusi rangkaian radar cuaca, satelit dan stesen pencerapan.

Syed Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kudat mengenai langkah kerajaan memperkukuh pemetaan risiko bencana di negara ini di Dewan Rakyat hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.