
SEREMBAN, 27 Oktober- Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
- Kerajaan negeri menerima kerjasama baik ketua jabatan, pengarah dan ADUN, termasuk input daripada bekas Exco, untuk penyediaan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
- Beliau menziarahi penduduk terjejas di PPS Balai Raya Gedong Lalang 162 susulan kebakaran di belakang UTC Ampangan.
- Kerajaan negeri menunggu keputusan mahkamah berhubung tindakan undang-undang berkaitan isu pelantikan Exco.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita hari ini mengenai perkembangan terkini pelantikan barisan Exco negeri.
Dalam pada itu, Datuk Ismail berkata kerajaan negeri menerima kerjasama baik daripada ketua jabatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam penyediaan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
“Kita mendapat kerjasama yang amat baik daripada semua ketua jabatan khususnya pengarah-pengarah, untuk penyediaan bajet (Belanjawan Negeri Sembilan 2027). Ahli-ahli Yang Berhormat (wakil rakyat) yang pernah memegang portfolio Exco sebelum ini juga memberikan input yang baik,” katanya.
Datuk Ismail memaklumkan penyediaan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 kini di peringkat akhir dengan satu lagi sesi perbincangan dijangka diadakan pada penghujung bulan ini.
Beliau turut menjangkakan jumlah peruntukan belanjawan kali ini tidak jauh berbeza berbanding tahun sebelumnya.
“Penyediaan bajet hampir selesai dan satu lagi perbincangan akhir dijangka diadakan pada penghujung bulan ini. Persiapan berjalan lancar dan peruntukan juga mencukupi,” katanya.
Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 sebelum ini dicadangkan pada 27 November, sehari selepas perasmian persidangan DUN.
Sehubungan itu, Datuk Ismail berharap semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan persidangan DUN berjalan lancar dan belanjawan berkenaan dapat diluluskan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Gedong Lalang 162, di sini, pagi tadi, susulan kebakaran di belakang UTC Ampangan, di sini, Ahad lalu.
Mengulas tindakan mahkamah berkaitan isu pelantikan Exco, Datuk Ismail berkata pihaknya menunggu keputusan mahkamah.