
GENEVA, 27 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa operasi ketenteraan Israel di Hebron, Tebing Barat yang diduduki, menimbulkan kebimbangan serius mengenai kemungkinan berlakunya pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.
- Volker Turk: operasi menyebabkan ribuan dipaksa tinggalkan rumah, premis diroboh serta pergerakan penduduk disekat.
- Pihak berkuasa Hebron: 3,189 penduduk dipindahkan secara paksa sejak operasi dilancarkan.
- Tentera Israel memasuki Ein Deir Baha selepas serangan; penduduk diarahkan kemas barang dan tinggalkan rumah.
- Turk gesa hentikan keganasan dan hukuman kolektif; mangsa mesti dibenarkan pulang, diberi pampasan serta pemulihan.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, operasi itu menyebabkan ribuan penduduk dipaksa meninggalkan kediaman, selain rumah dan premis perniagaan dirobohkan serta pergerakan mereka disekat.
Menurut pihak berkuasa perbandaran Hebron, seramai 3,189 penduduk telah dipindahkan secara paksa sejak operasi berkenaan dilancarkan.
Operasi itu menyusul serangan Jumaat lalu, apabila dua lelaki bersenjata Palestin membunuh dua anggota tentera Israel di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran bandar itu. Kedua-dua penyerang kemudian terbunuh dalam insiden berbalas tembakan.
Selepas serangan itu, tentera Israel memasuki kawasan kejiranan Ein Deir Baha, tempat kedua-dua penyerang tinggal, sebelum mengarahkan penduduk mengemas barang dan meninggalkan rumah masing-masing.
Turk menyifatkan tindakan berkenaan sebagai membimbangkan, sambil menggesa Israel menghentikan penggunaan kekerasan yang tidak perlu dan tidak seimbang.
Beliau berkata, sekatan yang dikenakan turut menyebabkan ramai penduduk terkurung di rumah dan kawasan kejiranan mereka, manakala kenyataan beberapa pegawai kanan Israel menunjukkan langkah itu bertujuan menghukum serta menimbulkan ketakutan.
Turk menegaskan penduduk yang dipindahkan mesti dibenarkan pulang, selain diberikan pampasan dan pemulihan sekiranya berlaku pengusiran serta perobohan yang menyalahi undang-undang.
Beliau turut mengingatkan bahawa hukuman kolektif merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, manakala ancaman untuk mengosongkan dan menghapuskan seluruh kawasan kejiranan menimbulkan kebimbangan mengenai pembersihan etnik.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Israel di Tebing Barat, termasuk pengusiran rakyat Palestin dari tanah mereka dan peningkatan keganasan oleh peneroka Israel.
Beliau menegaskan keamanan berkekalan di Asia Barat tidak akan tercapai tanpa pengiktirafan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.-AFP