Malaysia kaji semula peranan UNHCR urus penempatan pelarian

Datuk Seri Mohamad Hasan / Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Malaysia akan mengkaji semula peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini susulan kadar penempatan semula pelarian ke negara ketiga yang rendah, khususnya membabitkan pelarian dari Myanmar.

RINGKASAN BERITA AI
  • UNHCR gagal memindahkan pelarian ke negara ketiga akibat dasar anti-imigran negara penerima, menambah beban kepada Malaysia.
  • Malaysia perlu meningkatkan rundingan dengan kerajaan Myanmar untuk mencari penyelesaian lebih menyeluruh tanpa mengiktiraf kerajaan itu.
  • Krisis Myanmar kini memberi kesan melimpah kepada Malaysia, melebihi semata-mata urusan dalaman anggota ASEAN.
  • Penyelesaian jangka panjang memerlukan konflik dalaman ditangani supaya pelarian boleh pulang selamat; Malaysia akan terus berdialog langsung.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya sekitar 5,000 pelarian berjaya ditempatkan ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, malah jumlah itu turut melibatkan etnik lain dan bukan hanya Rohingya.

“Kita minta UNHCR menghantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal. Banyak negara yang sebelum ini menerima pelarian seperti Australia, Amerika Syarikat dan Jerman kini menutup pintu dan melaksanakan dasar anti-imigran. Jadi, ke mana mereka hendak dihantar? Ini akan menjadi beban kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat, di sini.

Menurut Datuk Seri Mohamad lagi, keadaan itu menyebabkan Malaysia perlu meningkatkan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian lebih menyeluruh terhadap krisis berkenaan.

Beliau menegaskan, langkah itu tidak bermaksud Malaysia mengiktiraf kerajaan Myanmar ketika ini, sebaliknya bertujuan menangani kesan konflik yang turut memberi kesan ke negara ini.

“Piagam ASEAN menetapkan kita tidak boleh campur tangan dalam hal dalaman negara anggota.

“Tetapi krisis Myanmar bukan lagi melibatkan hal dalaman mereka semata-mata kerana kesannya sudah melimpah kepada kita, khususnya berkaitan pelarian Myanmar dan etnik lain,” katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata, penyelesaian jangka panjang memerlukan konflik dalaman Myanmar ditangani supaya pelarian dapat kembali ke negara asal dengan selamat.

Justeru, Malaysia akan terus mengadakan dialog secara langsung dengan Myanmar bagi mengenal pasti langkah yang perlu diambil serta bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu menyelesaikan krisis tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.