Lebih 150,000 rumah terputus bekalan elektrik, susulan ribut

Foto AFP

LONDON, 26 Oktober – lebih 150,000 kediaman di United Kingdom, Perancis dan Jerman terputus bekalan elektrik susulan dua ribut kencang iaitu Ribut Austen dan Boelo, melanda Eropah Utara pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 400,000 kediaman di Britain mengalami gangguan; lebih 82,000 masih terjejas, hampir 60,000 di Perancis, 10,000 di Jerman.
  • Ratusan penerbangan dibatalkan atau dialihkan ke Schiphol; kira-kira 90 penerbangan disenaraikan dibatalkan, melibatkan destinasi Eropah.
  • Beberapa landasan kereta api dan jalan di Scotland serta utara England ditutup akibat pokok tumbang; perkhidmatan feri dihentikan.
  • Hospital mengehadkan perkhidmatan kepada kes kecemasan susulan gangguan elektrik dan rangkaian mudah alih; amaran cuaca jingga dikekalkan.

Ribut berkenaan turut menjejaskan perjalanan udara, perkhidmatan kereta api serta rangkaian telekomunikasi, selain mengakibatkan beberapa kecederaan dan kerosakan harta benda.

Persatuan Rangkaian Tenaga Britain memaklumkan lebih 400,000 kediaman di negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik sepanjang tempoh ribut berkenaan.

Daripada jumlah itu, lebih 82,000 kediaman di Britain masih terjejas, manakala hampir 60,000 kediaman di Perancis dan sekurang-kurangnya 10,000 kediaman di Jerman terputus bekalan elektrik akibat kerosakan pada talian kuasa, termasuk kabel tumbang.

Sementara itu, ratusan penerbangan di seluruh Eropah Utara terpaksa dibatalkan atau dilencongkan ke Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam susulan cuaca buruk.

Menurut laporan AFP, kira-kira 90 penerbangan yang disenaraikan di laman web lapangan terbang itu dibatalkan, terutama melibatkan destinasi Eropah seperti Paris, Rome dan Dublin.

Puluhan penerbangan yang dijadualkan mendarat di lapangan terbang berkenaan turut dibatalkan, manakala operasi penerbangan di utara England dan Scotland juga terjejas.

Di Scotland dan utara England, beberapa landasan kereta api serta laluan jalan raya terpaksa ditutup selepas dihalang pokok tumbang.

Perkhidmatan feri merentasi Laut Ireland turut dihentikan akibat keadaan cuaca yang berbahaya.

Agensi kaji cuaca tempatan turut mengekalkan amaran cuaca tahap jingga berikutan keadaan cuaca buruk yang berterusan.

Kejadian itu turut menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan apabila sebuah hospital di kawasan terjejas terpaksa mengehadkan perkhidmatannya kepada kes kecemasan susulan gangguan bekalan elektrik yang turut menjejaskan rangkaian telefon mudah alih. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.