Kolaboratif semua pihak perkukuh akses penjagaan mata

Masalah penglihatan yang tidak dirawat boleh memberi impak besar terhadap penjanaan ekonomi sesebuah keluarga

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus diperkukuh bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata, khususnya dalam kalangan golongan rentan serta penduduk luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjagaan mata proaktif penting kerana populasi menua, meningkatkan keperluan perkhidmatan pensaringan dan rawatan.
  • Inisiatif MySPECS tingkatkan kesedaran, saringan, rawatan ralat refraksi dan rujukan pakar bagi masalah penglihatan yang kompleks.
  • Tangani masalah penglihatan kanak-kanak awal; kawal penggunaan skrin, galakkan detoks digital dan aktiviti luar untuk sokong pembelajaran.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penjagaan mata secara proaktif bakal menjadi semakin penting apabila Malaysia menuju ke arah negara tua menjelang 2048, dengan lebih 14 peratus penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas.

“Masalah penglihatan yang tidak dirawat boleh memberi impak besar terhadap penjanaan ekonomi sesebuah keluarga.

“Jika tidak dirawat, keluarga bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan utama, malah pasangan atau anak remaja mungkin terpaksa berhenti kerja atau sekolah untuk menjaga mereka,” katanya.ketika berucap pada majlis pelancaran awal inisiatif MySPECS, di sini.

MySPECS merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangkumi usaha meningkatkan kesedaran awam, melaksanakan saringan serta menyediakan rawatan dan kawalan bagi masalah ralat refraksi.

Melalui inisiatif itu, individu yang masalah penglihatan tidak dapat dibetulkan sepenuhnya dengan cermin mata atau disyaki mengalami penyakit mata lain, boleh dirujuk kepada pakar berkaitan untuk penilaian dan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah memaklumkan masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak juga perlu ditangani lebih awal memandangkannya berupaya menjejaskan pembelajaran, serta perkembangan sosial mereka.

Beliau turut menekankan kepentingan mengawal penggunaan skrin digital dalam kalangan kanak-kanak, termasuk menerusi amalan detoks digital dan galakan aktiviti luar bagi membentuk gaya hidup yang lebih seimbang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.