
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Pembangunan 20 jenis sukan teras berprestasi tinggi menjadi antara pendekatan negara untuk mempelbagaikan peluang meraih pingat pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
- Pemilihan sukan teras bagi tempoh 2025 hingga 2028 untuk memastikan pembangunan sukan negara lebih tersusun dan sumber disalurkan secara strategik.
- Tumpuan diberikan kepada potensi dan pencapaian atlet serta peluang kelayakan ke temasya sukan utama.
- MSN memfokuskan pembangunan atlet secara berperingkat bermula daripada pengenalpastian bakat untuk memperkukuhkan daya saing sukan berpotensi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata pemilihan sukan teras bagi tempoh 2025 hingga 2028 dibuat bagi memastikan pembangunan sukan negara lebih tersusun, selain membolehkan sumber dan sokongan disalurkan secara strategik.
Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada potensi dan pencapaian atlet serta peluang kelayakan ke temasya sukan utama.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kuasa Kabinet Pembangunan Sukan menetapkan sebanyak 20 jenis sukan teras berprestasi tinggi bagi tempoh 2025 hingga 2028 sebagai asas pelaksanaan pembangunan sukan negara yang lebih berfokus dan berstruktur dan bukan hanya dua sukan sahaja.
“Dan bagi memperkukuhkan daya saing sukan berpotensi, MSN memberikan tumpuan kepada pembangunan atlet secara berperingkat bermula daripada pengenalpastian bakat”, ujar beliau demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, yang meminta penjelasan mengenai langkah mempelbagaikan pungutan pingat negara menjelang LA 2028.