RUU Pariti Gender dalam Perwakilan Politik masih diteliti

Datuk Seri Nancy / Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi meningkatkan penyertaan wanita kepada 30 peratus masih dalam penelitian termasuk mekanisme pelaksanaannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan kerusi khas wanita sedang dikaji sebagai salah satu pendekatan, bergantung sokongan pemimpin politik.
  • Kemajuan Dasar Wanita Negara 2025-2030 dipantau dua kali setahun melalui papan pemuka khas.
  • Pemantauan merangkumi ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan; penilaian separuh penggal dijadualkan 2028.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara pendekatan yang sedang diteliti termasuk pelaksanaan kerusi khas wanita.

“Kami tidak putus asa, sebaliknya meneruskan usaha ini. Kami cuba melihat perbandingan dengan negara-negara lain, bagaimana mereka melaksanakan kerusi khas untuk wanita.

“Tetapi kami juga perlu mendapat persetujuan dan sokongan daripada pemimpin politik. Kalau pemimpin politik tidak memberi peluang ini kepada kami, maka ia masih sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Mengenai pelaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN) 2025-2030, Datuk Seri Nancy berkata, kemajuannya dipantau dua kali setahun menerusi papan pemuka khas.

Pemantauan itu merangkumi empat bidang utama iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan wanita.

Laporan kemajuan kemudian dikemukakan kepada Majlis Wanita dan Keluarga Negara serta mesyuarat utama di peringkat kementerian.

Menurut Datuk Seri Nancy, kajian penilaian separuh penggal akan dilaksanakan pada 2028 bagi menilai keberkesanan pelaksanaan dasar itu serta mengenal pasti penambahbaikan diperlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.