
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Meskipun hujan membasahi ibu negara, keadaan itu tidak mematahkan semangat penonton yang terus menikmati persembahan sepanjang Konsert Tradisional Gema Bumantara, menyaksikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
- Datuk Seri Siti Nurhaliza menggabungkan muzik tradisional dengan sentuhan moden melalui persembahan teater dan silat, menonjolkan vokal bertenaga.
- Persembahan merentasi genre dan budaya termasuk joget, zapin, irama Arab, Cina dan Baba Nyonya serta kolaborasi artis tempatan dan antarabangsa.
- Iringan alat tradisional bersama susunan baru serta tarian dan permainan warisan menghidupkan semula kecantikan muzik Melayu kepada penonton generasi berbeza.
Kira-kira 63,00 pengunjung pada malam konsert berkenaan terus dibuai dengan alunan muzik tradisional yang disuntik dengan sentuhan moden mewarnai Konsert Gema Bumantara sekali gus mengangkat keindahan seni dan warisan muzik Melayu.
Membuka tirai persembahan tepat pada pukul 8.30 malam, Datuk Seri Siti Nurhaliza mempamerkan aksi silat penuh bertenaga sebelum mendendangkan lagu Mahligai Permata diikuti Cenderamaya.
Kehangatan Bukit Jalil diteruskan dengan lagu Rencong, anak kelahiran Pahang itu membuktikan keupayaannya menguasai pentas menerusi vokal bertenaga, sekali gus menetapkan rentak bagi konsert yang menghimpunkan pelbagai genre muzik tradisional dalam satu persembahan berskala besar.
Menerusi rangkaian gabungan lagu joget serta rangkaian lagu popular Sayang Musalmah, Mohon Kasih dan Hati Yang Rindu dipersembahkan dengan konsep teater. Sebelum itu penonton dihiburkan dengan Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Menanti Kasih
Bagi rangkaian gabungan lagu Badarsila, Di Taman Teman dan Syair Kamelia pula menampilkan irama muzik arab.
Memasuki babak seterusnya, elemen wayang kulit ditampilkan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri menjadi Tok dalang dengan menggunakan nama Mek Ti dan turut menampilkan dialek Kelantan dengan lagu pendek Adek Saye Abe Sore.
Sebelum menyampaikan lagu Walinong Sari, penampilan khas pelakon jelita Izara Aishah terus memukau penonton dengan silat bunga silat yang ditampilkan.
Mengakui hanya mempelajari seni persembahan tradisional itu selama dua hari, beliau tetap mengambil peluang mencuba pengalaman baharu sebagai sebahagian daripada usaha menghidupkan elemen warisan dalam konsert berkenaan.
Persembahan turut diserikan dengan kemunculan Izara Aishah menerusi lagu Walinong Sari. Bagi segmen seterusnya menampilkan elemen muzik cina dan tradisi baba nyonya menerusi lagu Bintang Malam dan Jenjang Cinta.
Pada malam konsert berkenaan turut menampilkan Haziq Rosebi turut menyumbang warna tersendiri menerusi persembahan berteraskan Melayu asli menerusi Dari Hati Ke Hati dan Zapin Bunga Hutan sebelum menyanyikan Pandang Pandang, Jeling Jeling.
Persembahan diteruskan dengan lagu Syurgawi diikuti dengan Masri Manis yang menampilkan etnik Sabah iaitu Tarian Magunatip, atau lebih dikenali sebagai Tarian Buluh.
Selain itu, persembahan berkenaan turut menampilkan permainan trasisional seperti lompat getah dan main tarik upih, namun digantikan menggunakan kain batik.
Kurik Kundi menjadi persembahan kemuncak apabila, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu sambil menaiki beca yang dkayuh pelakon lelaki yang meningkat naik Zarif Ghazzi.
Persembahan itu menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza bertemu dengan para penonton secara dekat, sekali gus menggamatkan TM Stadium Nasional Bukit Jalil.
Suasana semakin meriah dengan kemunculan penyanyi Indonesia, King Nassar, yang menghiburkan penonton menerusi lagu Ikan Dalam Kolam dengan elemen India. Seperti Mati Lampu terus menggamatkan suasana sebelum Pandang-Pandang Jeling-Jeling mengembalikan semula fokus penonton.
Lagu Kesuma ciptaan Aisha Retno dan Radi pula dipersembahkan dengan elemen jawa. Lagu berkenaan turut menampilkan sinden yang merupakan elemen muzikal penting dalam persembahan seni tradisional jawa.
Penyanyi Lesti Kejora pula membawa penonton menikmati rentak berbeza menerusi lagu Kumbang Bunga dan Zapin Melayu. Manakala persembahan Pesanan Buat Diri hampir membuatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza hampir hilang fokus pada bahagian akhir lagu tersebut apabila lagu berkenaan didedikasikan buat Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Namun, detik paling dinantikan pastinya pertemuan dua nama besar dalam muzik tradisional Melayu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris, yang bergandingan menerusi lagu Dondang Dendang dan Hati Kama.
Sebelum memulakan persembahan, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat mengimbau nostalgia persembahan Hati Kama sempena Sukan Komanwel 1998 di stadium sama, sekali gus menghidupkan kembali kenangan yang telah terukir hampir 28 tahun lalu.
Kemunculan kedua-dua penyanyi itu bukan sekadar memenuhi penantian peminat, malah memperlihatkan kesinambungan muzik tradisional Melayu yang terus mendapat tempat merentas generasi.
Sebelum mengakhiri konsert, penonton dihiburkan dengan lagu Ya Maulai, dengan penyertaan penari veteran dari Johor yang menambah nilai warisan dan kepelbagaian persembahan.
Persembahan diteruskan dengan lagu Balqis dan dan Cindai yang terus menggamatkan malam Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza di ibu negara.
Iringan muzik pada Konsert Gema Bumantara mendapat Chaan dan Leman Band serta Orkestra Tradisional Istana Budaya.
Gabungan bunyi alat muzik tradisional dengan susunan muzik baharu memberikan dimensi berbeza kepada persembahan dan memperlihatkan kehebatan muzik warisan kepada penonton.
Konsert berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan barisan menteri kabinet antaranya Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Hannah Yeoh.
Turut hadir memberikan sokongan ialah beberapa nama popular industri muzik tanah air, termasuk Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul serta peminat setia Siti Nurhaliza yang dikenali sebagai SitiZoners.