
MACHANG, 17 Oktober – Polis telah mengenal pasti pemilik jet peribadi yang terlibat dalam kes rampasan 521 kilogram dadah jenis di Laos, baru-baru ini.
- Pesawat berlepas dari Subang ke Laos tanpa membawa sebarang dadah.
- Dadah dipercayai dimuatkan di Laos sebelum pesawat cuba meneruskan penerbangan ke Manila dan dikesan pihak berkuasa.
- Polis Laos merampas 521 kg crystal methamphetamine; 13 individu ditahan berkaitan kes itu.
- Siasatan memberi tumpuan kepada penyewa pesawat, tujuan dan destinasi penerbangan serta juruterbang dan pembantu juruterbang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan turut melibatkan juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan.
Sebelum ini, pesawat terbabit berlepas dari Subang menuju ke Laos tanpa membawa sebarang dadah.
Bagaimanapun, dadah itu dipercayai dimuatkan ke dalam pesawat ketika berada di Laos sebelum dikesan pihak berkuasa negara berkenaan ketika pesawat itu hendak meneruskan penerbangan ke Manila, Filipina
“Ketika jet peribadi itu meninggalkan Subang menuju ke Laos ia tidak membawa sebarang dadah bagaimanapun ketika mendarat di Laos sebelum berlepas ke Manila disitulah dadah dimasukan dalam pesawat dan ditangkap,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar, Machang, di sini pada Sabtu.
Tambah Datuk Seri Saifuddin, siasatan turut memberi tumpuan kepada pihak yang menyewa pesawat berkenaan, tujuan penyewaan serta destinasi penerbangan.
Beliau berkata identiti pemilik pesawat telah dikenal pasti, namun butiran lanjut berkaitan siasatan belum boleh didedahkan.
Terdahulu, polis Laos merampas 521 kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, trend penyalahgunaan dadah kini membimbangkan membabitkan individu dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.
Sehubungan itu katanya, perkara tersebut memerlukan langkah pencegahan lebih menyeluruh dengan memperkukuh pendidikan awal serta peranan ibu bapa bagi membendung
penglibatan golongan muda dalam gejala berkenaan.
Katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan, (AADK) memainkan tiga peranan utama penting merangkumi pendidikan dan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan.
“Bilangan kes kita nisbahkan dengan 100 ribu penduduk itu mengikut standard formula antarabangsa, maksudnya kayu ukurnya adalah United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).
” jadi bila kita padankan dan kumpulkan data penglibatan kes dadah daripada empat sumber, kita dapati bahawa 4 negeri yang melepasi kadar nasional penyalahgunaan dadah adalah perlis kedah kelantan dan terengganu,” katanya.