Opereta Diraja dekatkan generasi muda dengan sejarah bangsa

Opereta Diraja / Foto RTM

SHAH ALAM, 16 Oktober – Persembahan seni antara wadah pendidikan dan apresiasi budaya bagi membantu generasi muda mengenali sejarah bangsa dan kepentingan jati diri dalam menghadapi perubahan zaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan: Opereta Diraja pendekatan baik sampaikan kisah sejarah secara kreatif dan mudah difahami.
  • Usaha mengangkat peristiwa sejarah perlu diteruskan supaya nilai perjuangan dan jati diri generasi akan datang terpelihara.
  • Perkembangan teknologi pesat boleh menyumbang kepada penghakisan nilai perjuangan dan jati diri jika sejarah tidak diketengahkan.
  • Opereta menampilkan perjanjian Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun dan pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, persembahan Opereta Diraja yang berlangsung pada Jumaat antara pendekatan baik untuk menyampaikan kisah sejarah kepada generasi muda dalam bentuk lebih kreatif dan mudah difahami.

“Usaha mengangkat peristiwa sejarah sebenar perlu diteruskan tanpa mengira masa dan usia agar generasi akan datang mengenali sejarah bangsa serta memahami nilai perjuangan dan jati diri mereka.

“Perkembangan teknologi yang pesat boleh menyumbang kepada penghakisan nilai perjuangan dan jati diri sekiranya sejarah tidak terus diketengahkan,” katanya menerusi kenyataan UiTM.

Antara peristiwa yang dipersembahkan ialah perjanjian antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, yang menggariskan hubungan antara raja dengan rakyat, selain peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak susulan penentangan orang Melayu terhadap penjajahan.

Opereta Diraja bertemakan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada yang berlangsung hari ini dianjurkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, CTRA Production, Majlis Teater Selangor (MTS) dan Persatuan Teater Malaysia (PTM).

Persembahan itu disertai 70 individu termasuk aktivis seni pentas, pelajar UiTM dan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPG).

Opereta Diraja itu turut disaksikan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.