
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – RTM menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Khas AI Knowledge Innovation Award pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Serantau Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2026.
- RTM digalakkan memperkukuh inovasi dan penghasilan kandungan selaras perkembangan teknologi.
- Meningkatkan mutu kandungan untuk memenuhi keperluan penonton serta memperluas pengaruh di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
- Kerjasama merentas negara dan sektor penting bagi menanggani cabaran industri serta memastikan perkhidmatan media terbaik kepada masyarakat.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ashwad Ismail menyifatkan pengiktirafan itu sebagai dorongan kepada RTM untuk terus memperkukuh inovasi dan penghasilan kandungan seiring perkembangan teknologi.
“Pengiktirafan ini membawa makna besar kepada seluruh warga RTM untuk terus meningkatkan mutu kandungan, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan penonton dan pendengar di Malaysia, malah memperluas pengaruh di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
“Sokongan masyarakat terhadap RTM turut menjadi pemangkin untuk organisasi itu terus berdepan cabaran landskap media yang semakin dinamik, khususnya susulan perkembangan teknologi yang pantas.
“Peranan penyiaran bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi turut merangkumi aspek pendidikan serta usaha mencetuskan imaginasi masyarakat terhadap kemajuan masa kini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Serantau IMT-GT 2026 di ibu negara, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Menurut Datuk Ashwad kerjasama dengan rakan media di negara-negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste, perlu terus diperkukuh bagi menangani cabaran industri media secara bersama.
“Kerjasama merentas sektor dan industri penting bagi menghimpunkan kekuatan semua pihak demi memastikan penyampaian perkhidmatan media yang terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.