
SYDNEY, 16 Oktober – Fiji akan menggunakan dron maritim berkuasa solar dan angin dari Australia mulai tahun depan bagi memperketat pemantauan perairannya serta membanteras penyeludupan dadah dan jenayah rentas negara.
Dron dikenali sebagai Bluebottle itu mampu beroperasi di laut selama berbulan-bulan tanpa perlu kembali ke pangkalan, sekali gus membolehkan pemantauan berterusan di kawasan perairan yang luas.
- Dron Bluebottle boleh beroperasi berbulan-bulan tanpa kembali ke pangkalan, membolehkan pemantauan berterusan di kawasan perairan luas.
- Australia akan membekalkan dron dan memberi latihan melalui bantuan A$600 juta untuk bantu negara Kepulauan Pasifik bendung jenayah terancang di laut.
- Bluebottle dilengkapi sonar untuk mengesan kapal dan kapal selam; Australia sedang bina armada 50 dron, dengan pengeluaran ditingkatkan di Sydney.
Menteri Industri Pertahanan Australia, Pat Conroy berkata, dron berkenaan dilengkapi teknologi sonar yang membolehkannya mengesan kehadiran kapal dan kapal selam.
Beliau berkata, Australia akan membekalkan dron itu kepada Fiji selain menyediakan latihan menerusi komitmen bantuan bernilai 600 juta dolar Australia (kira-kira 420 juta dolar Amerika Syarikat) bagi membantu negara-negara Kepulauan Pasifik menangani jenayah terancang di laut.
“Demi kepentingan semua negara di rantau ini, termasuk negara kami sendiri, kita perlu bekerjasama untuk membanteras perdagangan dadah haram,” katanya di Sydney.
Beliau menegaskan kerjasama serantau penting dalam aspek pengumpulan dan perkongsian risikan serta tindakan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan berkenaan.
Khamis lalu, Fiji meluluskan strategi keselamatan maritim baharu bagi menangani jenayah rentas negara, susulan peningkatan kegiatan penyeludupan dadah jenis methamphetamine dan kokain di rantau Pasifik.
Sementara itu, Ketua Tentera Laut Australia, Matt Buckley berkata, negaranya sedang membangunkan armada sebanyak 50 dron Bluebottle bersaiz bot layar yang boleh diangkut menggunakan pesawat atau kapal untuk ditempatkan di lokasi operasi di Lautan Hindi dan Pasifik.
Dron itu dibangunkan syarikat Australia, Ocius, yang kini meningkatkan kapasiti pengeluaran menerusi pembukaan sebuah kilang baharu di Sydney.
Negara-negara Kepulauan Pasifik berdepan cabaran memantau kawasan lautan yang luas dengan sumber terhad, termasuk bagi membanteras kegiatan penangkapan ikan secara haram dan penyeludupan dadah menggunakan kapal selam kecil dari Amerika Selatan.
Perkembangan itu turut berlaku ketika rantau Pasifik semakin menjadi tumpuan strategik, dengan peningkatan kehadiran kapal perang China dan rondaan Pengawal Pantai Amerika Syarikat.-AFP