
SAUDARA PENGARANG
- Penghargaan terhadap PM kerana arahan dasar dan mobilisasi GLIC untuk laksana projek perumahan mahasiswa dengan tindakan pantas.
- Projek Residensi Mahasiswa Fasa 1 UM disasarkan 10,000 tempat, rancangan keseluruhan sehingga 30,000 pelajar; KWAP turut melabur bagi mempercepat penawaran.
- Penekanan pelaksanaan: Perdana Menteri memantau sendiri, menggesa kerjasama Kementerian dan DBKL serta mempercepat proses kelulusan.
- Penegasan tanggungjawab sosial GLIC, ketelusan kos dan mutu seni bina serta kualiti hidup mahasiswa sebagai ukuran kejayaan.
Isu penginapan mahasiswa mungkin kelihatan seperti persoalan kebajikan kampus, tetapi hakikatnya ia berkait rapat dengan akses pendidikan, mobiliti sosial dan keadilan antara kelas.
Seorang mahasiswa yang memperolehi tempat di universiti awam tetapi terpaksa menanggung sewa tinggi, kos pengangkutan dan ketidakpastian tempat tinggal sebenarnya belum menikmati akses pendidikan yang benar-benar setara.
Atas sebab itu, keprihatinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terhadap masalah penginapan mahasiswa wajar diberikan penghargaan.
Lebih penting, perhatian itu tidak berhenti pada kenyataan simpati tetapi terus diterjemahkan kepada arahan dasar, penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan akhirnya pelaksanaan projek dalam tempoh yang pantas.
Masalah ini bukan baharu. Pada 31 Januari 2026, Malaysiakini melaporkan mahasiswa terpaksa “mempertaruhkan RM500” sebagai deposit rumah luar kampus kerana keputusan penempatan kolej kediaman yang lewat.
Pada 22 Ogos 2026 pula, Utusan Malaysia memetik Koordinator Liga Mahasiswa Malaysia, Chan Ea Shen, yang menyifatkan kekurangan kolej kediaman sebagai kritikal khususnya di kawasan bandar seperti Universiti Malaya.
Seorang pelajar memberitahu bahawa kos minimum penginapan dan pengangkutan boleh mencecah RM486 sebulan, manakala seorang lagi terpaksa bekerja sambilan empat hingga lima kali seminggu untuk menampung sewa dan kos perjalanan.
Masalah ini mempunyai kesan berantai. Sewa tinggi bukan sekadar mengurangkan wang poket. Ia boleh memaksa mahasiswa bekerja lebih lama, tinggal jauh dari kampus, bergantung kepada e-hailing dan mengorbankan masa pembelajaran.
Pada tahap tertentu, krisis penginapan berubah daripada masalah logistik menjadi isu ketidaksamaan pendidikan.
Jelas bahawa kebajikan pelajar tidak boleh dipisahkan daripada pencapaian akademik. Tempat tinggal yang stabil, selamat dan berdekatan dengan kampus mempengaruhi masa belajar, penyertaan dalam aktiviti akademik, jaringan sosial dan kesejahteraan psikologi.
Dalam kata lain, residensi siswa bukan kemudahan sampingan. Ia ialah sebahagian daripada infrastruktur pendidikan yang menentukan sama ada akses ke universiti benar-benar boleh diterjemahkan kepada peluang untuk berjaya.
Menariknya, Perdana Menteri telah mengakui masalah tersebut lebih awal. Ketika meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 pada 20 Januari 2026, beliau menyebut bahawa mahasiswa terus mengeluh kerana penginapan sukar diperoleh dan kediaman di sekitar bandar terlalu mahal.
Pada waktu itu beliau mengarahkan GLIC bekerjasama dengan universiti untuk membangunkan kemudahan penginapan, dengan sasaran awal menyediakan 5,000 tempat tambahan.
Ini menunjukkan bahawa projek yang kita lihat hari ini bukan reaksi spontan. Ia berkembang daripada pengenalpastian masalah, arahan dasar dan pembentukan mekanisme pembiayaan yang lebih kreatif.
Langkah tersebut dimantapkan dalam Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu. Perdana Menteri mengumumkan Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya untuk 10,000 mahasiswa, sementara Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM750 juta melalui Projek Vista Kampus.
Ia bagi membina kediaman siswa di enam universiti terpilih termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Apa yang lebih mengesankan ialah enam hari kemudian, pada 15 Oktober, Perdana Menteri sendiri hadir melancarkan Projek Residensi Siswa UM.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan fasa pertama melibatkan 10,000 mahasiswa dengan perancangan keseluruhan sehingga 30,000 pelajar. Malah, beliau menyatakan akan memantau pelaksanaan projek secara peribadi kerana mahu ia menjadi contoh yang baik.
Inilah dimensi yang patut dipuji. Dalam bidang pentadbiran awam, jurang paling sukar yang biasa disaksikan bukanlah antara idea yang baik dengan idea yang buruk, tetapi antara pengumuman dengan pelaksanaan.
Perdana Menteri sendiri mahu semua agensi berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memberikan keutamaan dan mempercepatkan proses kelulusan.
Beliau bahkan mempertikaikan jadual asal 2030 dan mahukan projek disegerakan.
Pendekatan ini turut memperkenalkan falsafah penting terhadap GLIC. Perdana Menteri menegaskan bahawa syarikat milik kerajaan tidak seharusnya dinilai melalui keuntungan semata-mata. Keuntungan perlu berjalan bersama tanggungjawab sosial.
Dari sudut dasar awam, pendekatan ini munasabah. Apabila penawaran kolej kediaman tidak mencukupi, mahasiswa terpaksa memasuki pasaran sewa bandar dengan kuasa beli yang jauh lebih rendah.
Penggunaan tanah universiti bersama modal institusi seperti GLIC membolehkan negara menambah penawaran penginapan tanpa meletakkan keseluruhan beban kepada perbelanjaan kerajaan.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga tidak mahu projek ini sekadar menjadi deretan blok konkrit. Beliau malah turut menekankan soal seni bina, budaya, persekitaran, kemudahan makan, rekreasi dan nilai manusiawi.
Memetik kritikan Mark Twain terhadap bangunan yang hebat tetapi “culturally barren”, beliau mahu residensi tersebut mempunyai nilai insaniah, bukan sekadar fungsi fizikal.
Satu lagi perkara yang harus dipuji ialah penekanannya terhadap ketelusan. Kos projek, kontraktor dan tempoh pelaksanaan mahu didedahkan supaya mahasiswa serta rakyat boleh menilai sendiri.
Keprihatinan kepada mahasiswa akhirnya mesti diukur melalui hasil. Jika 10,000 tempat baharu dapat disediakan dengan cepat, berkualiti, mampu bayar dan bebas ketirisan, model UM sewajarnya diperluaskan.
Apa yang berlaku antara 9 hingga 15 Oktober ini memberi satu mesej penting, iaitu kerajaan boleh bergerak pantas apabila masalah rakyat diberikan keutamaan politik.
Dalam isu perumahan mahasiswa ini, Perdana Menteri bukan sahaja mendengar keluhan. Beliau mengenal pasti masalah, menggerakkan institusi negara, mengumumkan penyelesaian dan terus menuntut pelaksanaannya dalam kadar yang segera.
Inilah reformasi yang lebih bermakna, bukan sekadar menghasilkan dasar yang indah di atas kertas, tetapi menjadikan dasar itu terasa dalam kehidupan sebenar anak-anak muda.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Dr. Yarina Ahmad
Penolong Naib Canselor
Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam