Zelensky ke Eropah dapatkan sokongan lebih kukuh

Volodymyr Zelensky/ AFP

BRUSSELS, 15 Oktober – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky tiba di Brussels pada Khamis bagi mendapatkan sokongan lebih kukuh daripada Eropah ketika hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kembali tegang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggesa sokongan Eropah lebih tegas, tekanan terhadap Rusia dan sokongan pertahanan tambahan untuk melindungi nyawa.
  • Menentang tuntutan AS; Ukraine tidak lagi akan mematuhi larangan menyerang loji penapisan minyak Rusia, mendapat sokongan pemimpin Eropah.
  • Memohon sistem pertahanan udara lebih banyak dan pembiayaan tambahan; EU perlu menambah dana kerana Kiev menghadapi kekurangan bajet besar.

Zelensky berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte, serta beberapa rundingan dua hala dengan pemimpin Eropah sebelum menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat.

“Semua pihak di Eropah mahu perang ini berakhir. Untuk mencapai matlamat itu, isyarat tegas diperlukan, termasuk tekanan lebih berkesan terhadap Rusia dan sokongan pertahanan tambahan kepada Ukraine.

“Ketika ini, tindakan bersama amat penting bagi melindungi nyawa,” menurut Zelensky menerusi media sosial.

Dalam perkembangan yang berpotensi mencetuskan kemarahan Trump, Zelensky dalam kenyataan yang diterbitkan pada Khamis berkata Ukraine tidak lagi akan mematuhi tuntutan Washington supaya negara itu tidak menyerang loji penapisan minyak Rusia.

Perkembangan itu menyusul selepas Trump menerima kecaman daripada Kiev susulan persetujuan dengan Moscow untuk membekalkan minyak, selain aduan Ukraine mengenai gangguan terhadap sistem komunikasi satelit penting milik AS.

Pemimpin Eropah secara umumnya menyatakan sokongan kepada Zelensky ketika mereka berusaha menangani ketegangan terbaharu dalam hubungan Trump dengan Kiev yang sering berubah-ubah.

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk turut menyatakan sokongan kepada Presiden Ukraine.

“Saya ingin memberi jaminan kepada rakan-rakan Ukraine yang dikasihi dan Presiden Zelensky bahawa anda tidak bersendirian,” menurut hantaran media sosial Donald Tusk.

Beberapa pemimpin turut menyokong hak Ukraine untuk menyerang loji penapisan minyak yang menjadi antara sumber pendapatan utama Rusia bagi membiayai operasi ketenteraannya.

Perdana Menteri Estonia, Kristen Michal menyokong serangan Ukraine terhadap loji penapisan minyak Rusia.

“Lebih cepat semua loji penapisan minyak Rusia dan keupayaannya menjual tenaga dimusnahkan sepenuhnya, lebih baik,” kata Kristen Michal.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten menegaskan bahawa Kesatuan Eropah (EU) terus berdiri teguh bersama Ukraine dan menyokong segala langkah yang perlu bagi melindungi rakyat negara itu.

“EU berdiri teguh bersama rakyat Ukraine, dan mereka perlu melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk melindungi rakyat Ukraine,” kata Rob Jetten.

Selain ketegangan terbaharu dengan Trump yang dijangka mendominasi perbincangan, Zelensky juga akan mendesak sekutu supaya menyediakan lebih banyak sistem pertahanan udara serta memberi perhatian kepada keperluan pembiayaan mendesak Kiev.

Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata EU perlu mencari dana tambahan bagi membiayai Ukraine ketika Kiev memberi amaran bahawa negara itu berdepan kekurangan besar dalam belanjawan tahun depan.

“Kita perlu menambah peruntukan dana sekali lagi bagi memastikan Ukraine mendapat bantuan berterusan dalam jangka panjang,” katanya.

EU sebelum ini menyediakan pinjaman berjumlah 90 bilion euro (AS$101 bilion) kepada Kiev yang dijadual membantu menampung keperluan pembiayaan negara itu sehingga penghujung 2027.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Ukraine memberi amaran bahawa negara itu memerlukan puluhan bilion euro lagi susulan serangan Rusia yang menjejaskan ekonominya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.