RUU e-Dagang perkukuh perlindungan pengguna, kawal selia platform digital

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Pengguna dalam talian bakal menikmati perlindungan lebih menyeluruh menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang yang bertujuan memperkukuh kawal selia platform perdagangan digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan rejim pelesenan terhadap pengendali platform e-dagang, termasuk platform luar negara, untuk memperkukuh akauntabiliti dan pematuhan undang-undang negara.
  • Penetapan tanggungjawab jelas bagi pengendali platform, penjual dalam talian dan pengguna serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang pantas dan kos efektif.
  • Perlindungan peniaga tempatan bagi memastikan persaingan adil terhadap platform dan penjual dari luar negara.
  • Cadangan kawal selia diperhalusi mengikut bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggubalan RUU itu penting bagi memastikan ekosistem e-dagang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab, seiring perkembangan pesat ekonomi digital.

“Antara cadangan utama yang sedang diperhalusi ialah pelaksanaan rejim pelesenan terhadap pengendali platform e-dagang, termasuk platform luar negara yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia.

“Langkah itu bertujuan memperkukuh akauntabiliti pengendali platform serta memastikan mereka mematuhi undang-undang negara, khususnya dalam aspek perlindungan pengguna dan ketelusan transaksi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Penggubalan RUU e-Dagang.

Menurutnya, RUU berkenaan turut memberi tumpuan kepada penetapan tanggungjawab yang jelas bagi pengendali platform, penjual dalam talian dan pengguna, selain menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih pantas, mudah dan menjimatkan kos.

Penggubalan undang-undang itu juga menekankan kepentingan melindungi peniaga tempatan bagi memastikan mereka dapat bersaing secara adil dalam pasaran digital, termasuk dengan platform dan penjual dari luar negara.

“Cadangan kawal selia berkenaan akan diperhalusi dengan mengambil kira bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian.

“Penggubalan RUU itu susulan persetujuan Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu terhadap cadangan ketetapan dasar bagi penggubalan perundangan baharu berkaitan e-dagang, selain komitmen kerajaan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.