Sage mahu buktikan kemampuan di pentas EPL

Foto AFP

LONDON, 14 Oktober – Pengendali Crystal Palace, Pierre Sage mengakui peluang mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sukar ditolak ketika beliau bersiap untuk kembali ke negara kelahirannya, Perancis, bagi aksi Liga Europa menentang Lyon pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memulakan kerjaya kejurulatihan di Lyon, kemudian membantu Lens menjuarai Piala Perancis dan finis kedua Ligue 1.
  • Keputusan meninggalkan Lens sukar tetapi dibuat demi perkembangan kerjaya dan kepentingan peribadi.
  • Jurulatih Perancis ke-10 di EPL, pertama tanpa pengalaman mengurus 100 perlawanan sebagai ketua jurulatih.
  • Prestasi meningkat selepas permulaan sukar; tekankan intensiti EPL dan perlu penggiliran pemain untuk bersaing di liga dan Eropah.

Perlawanan itu cukup bermakna buat Sage, 47, yang memulakan kerjaya kejurulatihan di Lyon pada November 2023 sebelum membimbing kelab itu bangkit daripada kedudukan tercorot Ligue 1 untuk melayakkan diri ke saingan Eropah dan mara ke perlawanan akhir Piala Perancis.

Bagaimanapun, beliau dipecat pada pertengahan musim berikutnya sebelum kembali mencipta kejayaan bersama Lens apabila membantu kelab itu menjuarai Piala Perancis buat kali pertama dalam sejarah, selain menduduki tempat kedua Ligue 1 di belakang Paris Saint-Germain (PSG).

Sage berkata keputusan meninggalkan Lens bukan mudah selepas menikmati musim yang disifatkannya luar biasa, namun beliau perlu mempertimbangkan perkembangan kerjaya sendiri.

“Ia keputusan yang sukar kerana kami melalui musim yang luar biasa, malah bersejarah. Saya dapat membayangkan impaknya.

“Namun, pada satu tahap, anda juga perlu memikirkan diri sendiri dan itulah yang mendorong keputusan saya,” katanya.

Sage menjadi jurulatih Perancis ke-10 yang mengendalikan pasukan dalam EPL, namun beliau berkata dirinya yang pertama berbuat demikian tanpa pengalaman menguruskan 100 perlawanan sebagai ketua jurulatih.

Beliau turut menyebut bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger dan mendiang pengurus Liverpool, Gerard Houllier, sebagai tokoh yang mencipta pencapaian luar biasa dalam bola sepak England.

“Apabila peluang seperti ini muncul, sudah tentu anda akan berfikir bahawa peluang itu mungkin tidak datang lagi,” katanya.

Crystal Palace tewas dalam dua perlawanan pertama di bawah kendalian Sage, namun prestasi pasukan itu semakin meningkat, termasuk kemenangan 3-1 ke atas Nottingham Forest dalam aksi liga hujung minggu lalu.

Kelab itu turut memulakan kempen Liga Europa dengan bergaya menerusi kemenangan 4-0 ke atas wakil Poland, Lech Poznan.

Sage berkata beliau melihat perbezaan ketara antara bola sepak Perancis dengan England, khususnya dari segi intensiti permainan.

“Berbanding Perancis, perlawanan di sini sentiasa dimainkan pada tahap intensiti yang sama oleh kedua-dua pasukan. Jarang sekali sesebuah pasukan bertahan secara mendalam, menutup ruang dan membiarkan lawan menguasai permainan,” katanya.

Beliau optimis Crystal Palace mampu bersaing dalam saingan domestik dan Eropah jika penggiliran pemain dilaksanakan dengan baik.

“Dengan kualiti pemain yang kami miliki, jika kami menggilirkannya dengan cara yang betul, kami mampu bersaing dalam kedua-dua kejohanan,” katanya. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.