
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Perkahwinan antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak mengubah keturunan warganegara asing itu kepada keturunan Melayu.
- Saifuddin menegaskan jawapan bertulis mengenai isu itu telah dibentangkan di Dewan Rakyat.
- Beliau mempersoalkan laporan bertajuk sensasi yang boleh menimbulkan salah faham dan gambaran mengelirukan.
- Salinan soalan dan jawapan penuh dikongsi bagi membolehkan rujukan dan penelitian tepat oleh orang ramai.
- Beliau menyeru masyarakat menyemak fakta, fahami konteks sebelum berkongsi maklumat untuk elak penyebaran salah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan keturunan individu berkenaan kekal mengikut asal usul mereka dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan membuat penentuan keturunan bagi warga asing terbabit.
“Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas dalam jawapan bertulis saya di Dewan Rakyat semalam.
“Namun, terdapat segelintir laporan yang menggunakan tajuk sehingga boleh menimbulkan salah faham dan memberikan gambaran mengelirukan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sehubungan dengan itu, Datuk Seri Saifuddin turut mengemukakan salinan soalan dan jawapan penuh berhubung isu berkenaan bagi membolehkan orang ramai membuat rujukan serta penelitian yang tepat.
Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak mudah membuat kesimpulan berasaskan tajuk berita semata-mata, sebaliknya menyemak fakta dan memahami konteks sebenar sebelum berkongsi sebarang maklumat.
“Semak fakta, fahami konteks sebenar dan kongsikan maklumat yang tepat agar kita tidak menjadi sebahagian daripada penyebaran maklumat yang mengelirukan,” katanya.