Belanjawan 2027: Perkukuh kebajikan dan perlindungan sosial penerima

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Peningkatan peruntukan bagi bantuan orang kurang upaya (OKU) kepada RM1.5 bilion menerusi Belanjawan 2027, antara langkah progresif kerajaan untuk memperkukuh kebajikan lebih 300,000 penerima.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan peruntukan sebagai pelaburan sosial untuk menjamin perlindungan, peluang dan pengiktirafan hak asasi golongan OKU.
  • Pelaksanaan memerlukan mekanisme pengagihan telus, pantas dan bebas birokrasi supaya bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
  • Bantuan dapat meringankan kos penjagaan, memudahkan rawatan terapi dan menstabilkan perbelanjaan harian keluarga penjaga.
  • Langkah ini bukan sekadar belas kasihan tetapi pengiktirafan maruah, memberi ruang hidup lebih baik kepada penerima dan penjaga.

Pengerusi Eksekutif Persatuan My Autism Kebangsaan, Muhammad Zaqkhwan Zawawi berkata, peningkatan peruntukan itu merupakan satu bentuk pelaburan sosial untuk memastikan golongan itu mendapat perlindungan dan peluang yang sewajarnya dalam masyarakat.

Bagaimanapun, pelaksanaan peruntukan itu perlu disertai mekanisme pengagihan yang telus dan tidak membebankan penerima, khususnya bagi mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Peruntukan ini sebagai bukan sekadar bantuan fiskal semata-mata. Sebaliknya, satu pengiktirafan kepada hak asasi.

“Golongan OKU dan penjaga mereka berhak menikmati jaring keselamatan sosial yang kukuh dan bermaruah. Ia bukan pemberian bersifat simpati tetapi pelaburan sosial bagi memastikan tiada warganegara ditinggalkan di belakang.

“Walaubagaimanapun, dari sudut pelaksanaan, pandangan saya turut diiringi peringatan yang penting. Jumlah dana yang besar ini memerlukan mekanisme pengagihan yang telus, pantas dan bebas daripada birokrasi yang membebankan,” katanya ketika dihubungi Berita RTM.

Muhammad Zaqkhwan turut berpandangan peruntukan berkenaan juga memberi impak positif dalam meringankan tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Ia berikutan kos penjagaan ahli keluarga OKU lazimnya lebih tinggi berbanding isi rumah biasa, termasuk perbelanjaan keperluan harian, ubat-ubatan dan rawatan fisioterapi.

“Adanya peningkatan bantuan ini, ibu bapa dapat menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik dan mengurangkan risiko terpaksa menangguhkan sesi terapi atau mengabaikan keperluan asas anak kerana kekangan kewangan.

“Secara ringkasnya, mungkin impak ini bukan sekadar angka di atas kertas tapi memberikan ruang untuk keluarga bernafas, mengurangkan beban penjaga dan meningkatkan kualiti hidup penerima bantuan itu sendiri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.