
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pertambahan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Belanjawan 2027, disifatkan sebagai sokongan penting bagi meneruskan pelaksanaan program kebajikan dan perlindungan kumpulan sasar.
- Bantuan kepada OKU dinaikkan RM100 daripada RM500 kepada RM600, memperkukuh sokongan kewangan.
- RUU Warga Emas sedang digubal dan dinanti NGO untuk meningkatkan perlindungan serta kerjasama komuniti.
- Peruntukan 2027 RM4.355 bilion, naik RM168 juta; RM4.198 bilion untuk operasi, RM157.03 juta pembangunan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peningkatan peruntukan itu membolehkan kementerian
memperkukuh usaha membantu golongan yang memerlukan, termasuk warga emas.
“Kita menyambut baik Belanjawan 2027 ini dan dapat melihat perkembangan dari 2023 hingga sekarang, khususnya dari segi bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM100, daripada RM500 kepada RM600.
“Secara keseluruhan, jumlah bantuan lain juga menunjukkan peningkatan. Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang sedang digubal merupakan satu inisiatif yang dinantikan masyarakat, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan warga emas. Kita dapat melihat kesungguhan mereka untuk memastikan RUU ini diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat.
Sebagai rekod, KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM4.355 bilion bagi 2027 berbanding RM4.187 bilion pada 2026, meningkat RM168 juta atau kira-kira empat peratus.
Daripada jumlah itu, RM4.198 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM157.03 juta bagi perbelanjaan pembangunan.