
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menafikan dakwaan bahawa konfigurasi perisian unit kuasa Formula 1 (F1) yang digunakan pada Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Sepang tidak menjalani ujian, sebaliknya mengesahkan pakej berkenaan telah melalui simulasi dan penilaian di litar sebelum digunakan.
- Siasatan mendapati beberapa jentera pada RPM rendah mengalami penurunan kuasa tidak disengajakan dalam zon pengurangan kuasa 250 kilowatt.
- Gangguan menangguhkan prosedur permulaan selepas dua pusingan formasi; masalah diselesaikan oleh pasukan teknikal dan pembekal enjin dalam 48 minit.
- Konfigurasi perisian dikemas kini dan diintegrasi sebelum perlumbaan disambung; konfigurasi sama akan digunakan semula di GP Singapura jika cuaca serupa.
- FIA mengaku had ujian secara langsung, akan bekerjasama dengan pasukan, pengeluar unit kuasa dan pembekal ECU untuk perkuat pengesahan ujian bebas.
Dalam satu kenyataan media di laman Facebook rasmi badan induk sukan permotoran dunia itu, memaklumkan pasukan dan pengeluar enjin telah mengesahkan sistem berkenaan menerusi latihan simulasi secara meluas sebelum perlumbaan, selain menjalani ujian pemanduan berskala penuh pada sesi Latihan Bebas 1 GP Belgium dan GP Belanda.
“Pakej perisian itu kemudiannya diuji dalam sesi pemanduan berskala penuh ketika sesi Latihan Bebas 1 pada GP Belgium dan GP Belanda,” menurut kenyataan itu.
Penjelasan itu dibuat susulan semakan pascaperlumbaan berhubung gangguan teknikal yang menjejaskan prosedur permulaan ketika pusingan formasi di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu lalu.
Hasil siasatan FIA mendapati beberapa jentera yang beroperasi pada putaran enjin rendah (RPM) di sektor yang mengenakan pengurangan kuasa sebanyak 250 kilowatt mengalami penurunan kuasa tidak disengajakan yang tidak dapat dipulihkan dalam zon berkenaan.
Gangguan itu menyebabkan prosedur permulaan perlumbaan ditangguhkan pada 3.45 petang selepas dua pusingan formasi, sebelum pasukan teknikal FIA dan pembekal enjin mengambil masa 48 minit untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Proses itu membabitkan kemas kini serta integrasi konfigurasi perisian yang telah disemak sebelum perlumbaan akhirnya disambung dengan selamat dari lorong pit pada 4.33 petang.
Menurut FIA, konfigurasi yang ditetapkan di Sepang akan digunakan semula untuk GP Singapura sekiranya keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku.
Kemas kini lanjut bagi perisian berkaitan cuaca basah turut akan dikeluarkan sebelum GP Amerika Syarikat pada 25 Oktober ini.
FIA mengakui peluang untuk menjalankan ujian secara langsung di litar adalah terhad, namun memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan pasukan, pengeluar unit kuasa serta pembekal Unit Kawalan Elektronik (ECU) piawaian bagi memperkukuh keupayaan ujian perisian dan proses pengesahan secara bebas.
Badan induk itu turut memuji semua pasukan, pengeluar dan petugas teknikal atas tindakan pantas serta penyelarasan mereka dalam mengenal pasti dan menyelesaikan gangguan berkenaan, sekali gus membolehkan perlumbaan diteruskan dengan selamat.