Kedah tingkatkan langkah pencegahan rabies

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah sedang melaksanakan program vaksinasi anjing./ RTM

KUBANG PASU, 3 Oktober – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah terus mempergiat langkah pencegahan penyakit rabies di daerah Kubang Pasu menerusi program vaksinasi anjing, persampelan pemantauan dan operasi dari rumah ke rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bilik Gerakan Khas dibuka untuk memantau situasi rabies di Changlun dalam lingkungan 10 kilometer.
  • MPKP menggesa penduduk tingkatkan kewaspadaan dan jangan mendekati atau menangkap anjing liar yang agresif.
  • Pemilik diwajibkan mempunyai lesen, vaksinasi dan kawalan; kegagalan boleh dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil MPKP dan Warta 2026.
  • Orang yang digigit atau dicakar disaran cuci luka sekurang-kurangnya 15 minit dengan air dan sabun sebelum dapatkan rawatan.

Jabatan itu dalam satu kenyataan, memaklumkan usaha berkenaan turut melibatkan pembukaan Bilik Gerakan Khas bagi memantau situasi semasa di Changlun dalam lingkungan radius 10 kilometer di daerah berkenaan.

“Hari ini, Padang Sera, Kodiang menjadi lokasi program simulasi rabies, dengan suntikan vaksin dilaksanakan secara berpusat di Pertubuhan Jawatankuasa Pengurusan Keng Heng Beow.

“Selain vaksinasi secara berpusat, suntikan turut dilakukan dari rumah ke rumah bagi membantu pemilik anjing yang menghadapi kesukaran membawa haiwan peliharaan mereka ke pusat vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

Program berkenaan turut merangkumi pengambilan sampel bagi tujuan pemantauan, selain vaksinasi berkala bagi membantu pihak jabatan mengesan dan mengekang risiko jangkitan lebih awal.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) dalam kenyataan berasingan, menggesa penduduk di daerah berkenaan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan susulan ancaman penyakit rabies atau anjing gila yang boleh membawa maut.

Menurut MPKP, daerah Kubang Pasu berada dalam kawasan Rabies Immune Belt, selain pernah berlaku kes kematian akibat jangkitan penyakit berkenaan.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak memandang ringan ancaman rabies kerana penyakit ini boleh membawa maut. Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mendekati atau cuba menangkap sendiri anjing liar yang agresif atau menunjukkan tingkah laku luar biasa,” menurut kenyataan itu.

Sebarang penemuan anjing sedemikian hendaklah dilaporkan segera kepada MPKP dengan menyertakan maklumat lokasi serta gambar atau video bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Bagi pemilik anjing pula, mereka diwajibkan memastikan haiwan peliharaan mempunyai lesen, telah divaksin, sentiasa dikawal dan tidak dibiarkan berkeliaran bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan atau kompaun di bawah Undang-Undang Kecil MPKP 2011.

Orang ramai yang mengalami gigitan atau cakaran anjing turut dinasihatkan supaya segera mencuci luka menggunakan air dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

MPKP menegaskan, mengikut Warta Perintah Vaksinasi Anti-Rabies Negeri Kedah 2026, pemilik anjing di kawasan Changlun yang gagal mendapatkan suntikan vaksinasi rabies boleh dikenakan kompaun di bawah Seksyen 42(8) Akta Binatang 1953.

Kadar kompaun ialah RM1,000 bagi kesalahan pertama, RM2,000 bagi kesalahan kedua dan RM5,000 bagi kesalahan ketiga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.