
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Kerajaan disaran memperkukuh ekosistem ekonomi Islam secara menyeluruh menerusi Belanjawan 2027, tanpa hanya memberi tumpuan kepada sektor perbankan Islam.
- Sediakan dana khas R&D di universiti awam untuk mengukuhkan industri halal dan sektor pelancongan patuh syariah.
- Manfaatkan wakaf dan dana sosial seperti CSR sebagai modal permulaan untuk usahawan B40 dan golongan asnaf.
- Perkenalkan pembiayaan interim melalui program i-TEKAD bagi membantu bekas asnaf capai pembiayaan komersial atau disenaraikan.
Penolong Profesor,Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd Zaidi Md Zabri berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penyediaan dana khas bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti awam untuk memperkukuh industri halal serta sektor pelancongan patuh syariah.
Jelas beliau, usaha itu penting bagi memastikan Malaysia terus berinovasi dan mengekalkan kedudukannya sebagai antara peneraju kewangan Islam di peringkat global.
“Potensi yang ada sekarang ialah melalui wakaf dan dana sosial seperti CSR (tanggungjawab sosial korporat). Daripada disalurkan secara ‘one-off’ (sekali bayar), dana ini boleh dimanfaatkan sebagai ‘seed capital’ (modal permulaan) kepada golongan B40 dan asnaf yang ingin memulakan perniagaan.
“Usaha itu termasuk penyediaan pembiayaan interim menerusi program i-TEKAD bagi membantu bekas asnaf mengembangkan perniagaan sehingga mampu mendapatkan pembiayaan komersial atau disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.