AI@NADI catat 20,044 penyertaan setakat 31 Ogos

Foto RTM

PUTRAJAYA, 2 September – Sebanyak 20,044 penyertaan direkodkan menerusi program AI@NADI setakat 31 Ogos lalu, sejak diperkenalkan di 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara, Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasar 25,000 penyertaan menjelang akhir tahun sebagai usaha memperkukuh penguasaan AI dalam komuniti.
  • Matlamat melahirkan sekurang-kurangnya seorang 'prompt engineer' di setiap NADI untuk memanfaatkan AI bagi pembelajaran dan penyelesaian masalah setempat.
  • Latihan tiga tahap (8, 16, 36 jam); 1,247 peserta sedang mengikuti, 856 atau 69 peratus ialah wanita.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap usaha memperkukuh penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan komuniti.

Menurutnya, program yang bermula Jun lalu itu menyasarkan 25,000 penyertaan menjelang akhir tahun ini.

Tambah beliau, antara sasaran program adalah melahirkan sekurang-kurangnya seorang ‘prompt engineer’ atau individu yang mempunyai kemahiran dalam membangunkan arahan kepada sistem AI di setiap NADI.

“Usaha itu bagi memastikan komuniti bukan sahaja terdedah kepada teknologi AI, malah mampu memanfaatkannya untuk keperluan pembelajaran, pekerjaan dan penyelesaian masalah di peringkat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Forum InspireHer anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR),hari ini.

Tambah beliau, Program AI@NADI dilaksanakan menerusi tiga tahap pembelajaran.

“Tahap pertama selama lapan jam memberi asas dan pendedahan kepada konsep serta penggunaan AI, manakala tahap kedua selama 16 jam memberi fokus kepada penggunaan pelbagai alat dan kaedah AI bagi tugasan praktikal.

“Tahap ketiga pula selama 36 jam menumpukan aplikasi AI yang lebih maju dan teknikal, termasuk pembangunan penyelesaian untuk keperluan NADI dan komuniti,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini, 1,247 peserta sedang mengikuti tahap-tahap latihan berkenaan, dengan 856 atau 69 peratus daripadanya terdiri daripada wanita.

Ini membuktikan komitmen Kementerian Komunikasi dalam memperkasa golongan wanita melalui penguasaan teknologi baharu.

Forum berkenaan menghimpunkan kira-kira 50 penjawat awam wanita bagi memberi ruang kepada perkongsian ilmu, inspirasi dan jaringan profesional.

Dalam masa sama, beliau berkata wanita kini membentuk 60.41 peratus daripada keseluruhan penjawat awam tetap, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Awam sehingga 25 September lalu.

Manakala, di Kementerian Komunikasi wanita membentuk 44 peratus daripada keseluruhan penjawat awam kementerian.

Antaranya, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) 57 peratus, BERNAMA 54 peratus dan IPPTAR 56 peratus.

Justeru, penglibatan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi kementerian meningkat daripada 26 peratus tahun lalu kepada 30 peratus pada 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.