
KUALA LUMPUR, 29 September – Seramai 822 petugas digerakkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sempena penganjuran Formula Satu (F1) Gulf Air Grand Prix Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 2 hingga 4 Oktober ini.
- Operasi keselamatan berlangsung setiap hari; kawalan 8 pagi hingga 11 malam, kawalan perlumbaan 9 pagi hingga 6 petang, fokus pada perlumbaan utama.
- JSPT bahagikan kawalan kepada Inner, Middle dan Outer Zone; lima lokasi saringan, lencongan kenderaan berat, laluan khas untuk komuniti KLIA.
- Pengunjung guna laluan masuk awam, manfaatkan 9,000 petak parkir, perkhidmatan bas pengantara percuma dan e-hailing; jangan parkir di bahu jalan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar berkata, jumlah itu membabitkan 756 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 66 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Operasi keselamatan akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 11 malam setiap hari, manakala kawalan semasa perlumbaan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.
“Kemuncak perlumbaan utama dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Kawalan keselamatan turut meliputi persembahan konsert Axwell pada 3 Oktober dan Martin Garrix pada 4 Oktober, masing-masing dari pukul 7 malam hingga 10 malam di Helipad SIC.
Bagi memastikan kelancaran trafik, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Selangor membahagikan kawalan kepada tiga zon utama iaitu Inner Zone, Middle Zone dan Outer Zone.

Lima lokasi saringan utama turut disediakan, selain lencongan kenderaan berat di lapan lokasi pemeriksaan.
Pergerakan komuniti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pekerja lapangan terbang ke Terminal 1, Terminal 2 serta kawasan kargo akan diutamakan menerusi laluan khas.
“Akses bagi orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat pada 2 Oktober ini turut disediakan.
Pengunjung digalakkan menggunakan laluan masuk awam yang ditetapkan serta memanfaatkan 9,000 petak parkir di SIC,” katanya.
Katanya, orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan bas pengantara percuma dan e-hailing dari beberapa hab utama yang disediakan.
Shazeli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan tegas, termasuk saman dan tunda, akan diambil.
Motosikal juga tidak dibenarkan memasuki kawasan litar dan perlu diletakkan di parkir khas yang disediakan.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan petugas di lapangan bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang penganjuran F1 berkenaan.