Sektor kreatif perkukuh potensi ekonomi jingga

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Majlis KL20@Johor 2026 di Iskandar Malaysia Studios (IMS)/ BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 29 September – Sektor kreatif yang menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 terus menjadi fokus kerajaan bagi memperkukuh potensi ekonomi jingga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan terus memfokuskan sektor kreatif untuk memperkukuh ekonomi jingga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu.
  • Usaha ini selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh potensi sektor kreatif.
  • Tumpuan bukan sahaja penyertaan tetapi pemilikan harta intelek, peningkatan pelaburan, eksport dan pekerjaan berpendapatan tinggi.
  • KL20@Johor mengetengahkan kerjasama antarabangsa antara studio tempatan dengan rakan dari Australia dan Korea bernilai AS$22 juta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu juga selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam memperkukuh potensi sektor berkenaan.

Beliau berkata tumpuan bukan sekadar memperluas penyertaan dalam industri kreatif, tetapi meningkatkan pemilikan harta intelek, nilai pelaburan dan eksport, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Ini menjadikan ekonomi jingga bukan lagi sekadar sektor sokongan, sebaliknya antara bidang yang diberi perhatian dalam usaha memperluas sumber pertumbuhan ekonomi negara.

“Memang kita telah meletakkan ekonomi jingga ini sebahagian daripada usaha untuk kita meningkatkan kedudukan nilaian industri kita. Malah di peringkat kerajaan sendiri, kita telah tubuhkan Majlis Ekonomi Jingga yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Jadi sebab itu antara rentetan dan sorotan daripada RMK13. Perkara ini kita cuba zahirkan termasuk melalui penganjuran KL20@Johor. Jadi sebab itu, sudah pasti dari segi perancangan itu akan berterusan. Memang akan ada segmen yang kita akan angkat melalui ekonomi jingga”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis KL20@Johor di Iskandar Malaysia Studios, Iskandar Puteri.

KL20@Johor turut mengetengahkan potensi kerjasama antarabangsa dalam industri kreatif, termasuk antara studio tempatan dengan rakan industri dari Australia dan Korea, membabitkan nilai keseluruhan AS$22 juta.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.