
TASIK BERA, 27 September – Seorang pemandu jengkaut maut, seorang lagi selamat selepas jentera berat itu terbalik ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di Tasik Bera, Temerloh, petang Ahad.
- JBPM terima panggilan kecemasan 2.11 petang; jentera BBP Triang tiba kira-kira 45 minit kemudian.
- Bomba guna bot RAMSAR, buka pintu jengkaut terbalik dan keluarkan mangsa yang ditemukan tidak sedarkan diri.
- Seorang lagi lelaki 28 tahun selamat; mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Mangsa, Alief Daniel Haqim bin Abdullah, 26 berjaya dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang sekitar pukul 4.10 petang, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.11 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang tiba kira-kira 45 minit kemudian.
“Kejadian melibatkan dua lelaki termasuk mangsa yang merupakan pemandu jengkaut, manakala seorang lagi lelaki berusia 28 tahun berjaya menyelamatkan diri.
“Bomba menggunakan bot RAMSAR di sekitar kawasan jengkaut terbalik sebelum berjaya membuka pintu jengkaut dan mengeluarkan mangsa yang ditemukan tidak sedarkan diri, ” katanya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.