
PADANG BESAR, 26 September – Pelaksanaan projek rintis sistem pengurusan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) melalui inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di fasiliti kesihatan di Perlis, memberi kesan positif daripada segi masa menunggu pesakit.
- Lebih 86 peratus pesakit menunggu kurang daripada 60 minit untuk mendapatkan rawatan.
- Hampir 62.8 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh kurang 30 minit.
- Kerjasama rentas kementerian antara MCMC dan KKM memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan ketersambungan digital bersepadu.
- Fahmi menerima maklum balas, gesa keselamatan dan kemudahan penggunaan sistem, serta akan bawa cadangan ke peringkat MCMC dan Kementerian Kesihatan.
Menerusi inisiatif itu, perkhidmatan kesihatan terus diperkukuh apabila lebih 86 peratus pesakit menunggu kurang daripada 60 minit untuk mendapatkan rawatan dan hampir 62.8 peratus pula dalam tempoh kurang 30 minit.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerjasama rentas kementerian antara Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta ketersambungan digital dan teknologi yang lebih bersepadu.
“Jadi ini satu peningkatan yang baik berbanding di peringkat kebangsaan. Saya juga telah menerima maklum balas tentang sistem dan saya juga menyampaikan cadangan untuk memastikan sistem ini selamat digunakan, mudah untuk para pekerja kesihatan dan ada beberapa perkara saya akan bawa ke peringkat MCMC dan kementerian Kesihatan,” katanya.
Datuk Seri Fahmi bercakap kepada pemberita selepas meninjau projek PERSADA di Klinik Kesihatan Padang Besar di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Kesihatan Perlis Dr Ghazali Chik.