F1 GP Bahrain: 95,000 tiket sudah terjual

Litar F1 Sepang / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 September – Sebanyak 95,000 tiket Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) in Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sudah terjual setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan tiket dibuka sejak Ogos; pemegang MyKad menerima kadar khas untuk pas tiga hari.
  • Kategori C Hillstand dan beberapa grandstand lain sudah habis dijual; kategori MyKad masih ada RM200 hingga RM2,083.40.
  • Kanak-kanak umur tiga hingga enam tahun nikmati diskaun 25%; bawah tiga tahun masuk percuma tanpa tempat duduk.
  • Perkhidmatan bas perantara percuma disediakan kerajaan; 95 bas beroperasi ulang-alik dari lokasi tumpuan pada 2 hingga 4 Oktober, 7 pagi hingga 12 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan jumlah jualan dijangka terus bertambah minggu depan.

“Sambutannya amat menggalakkan. Kita sudah menjual lebih 95,000 tiket dan menjangkakan jumlah itu mencecah 100,000 menjelang hujung minggu depan,” katanya kepada RTM.

Jualan tiket bagi perlumbaan dari 2 hingga 4 Oktober itu dibuka sejak Ogos lalu, dengan pemegang MyKad ditawarkan kadar khas bagi pas tiga hari.

Berdasarkan maklumat terkini di laman sesawang rasmi Bahrain International Circuit, tiket bagi C Hillstand sudah habis dijual, manakala kategori lain untuk pemegang MyKad masih terdapat kekosongan dengan harga antara RM200 hingga RM2,083.40.

Kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun menikmati diskaun 25 peratus bagi kategori terpilih, manakala kanak-kanak bawah tiga tahun dibenarkan masuk secara percuma tanpa tempat duduk khusus.

Bagi peminat antarabangsa pula, tiket pas tiga hari yang masih tersedia ialah Main Grandstand pada AS$565.40 serta K2 dan C Hillstand masing-masing AS$220.

Beberapa kategori lain termasuk K1 Grandstand, F Grandstand dan B Hillstand sudah habis dijual.

Dalam pada itu, Azhan menggalakkan pemegang tiket menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma yang disediakan bagi melancarkan pergerakan ke SIC.

“Alhamdulillah, kita dapat peruntukan daripada pihak kerajaan untuk menyediakan bas percuma.

“Mereka yang telah membeli tiket bolehlah menggunakan perkhidmatan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Mitsui KLIA, Long Term Car Park KLIA dan juga Bandar Baru Enstek.

“Insya-Allah, kita akan memberikan perkhidmatan terbaik melalui kerjasama kami dengan pihak Rapid,” katanya.

Sebanyak 95 bas akan beroperasi secara ulang-alik dari lokasi tumpuan ke kawasan acara antara pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam pada 2, 3 dan 4 Oktober.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.