
KUALA LUMPUR, 24 September – Kerajaan sedang meneliti strategi terbaik meningkatkan kapasiti bekalan elektrik dan pengeluaran air bersih bagi menampung peningkatan permintaan susulan perkembangan pesat pusat data di Malaysia.
- Pusat data menambah tekanan terhadap permintaan elektrik dan air, menjejaskan sektor pembuatan, ekonomi lain, serta keperluan harian rakyat.
- Perancangan peningkatan kapasiti utiliti mesti seimbang supaya pertumbuhan pusat data tidak menjejaskan bekalan kepada pengguna domestik dan sektor lain.
- Kejayaan pembangunan pusat data perlu diukur bukan hanya nilai pelaburan, tetapi juga peningkatan keupayaan rakyat dan industri tempatan.
- Tarikan pelaburan bersandar kepada kestabilan, tadbir urus dan peraturan; cabaran memastikan infrastruktur asas berkembang seiring permintaan baharu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kehadiran pusat data menambah tekanan terhadap permintaan elektrik dan air, yang pada masa sama diperlukan bagi menyokong industri pembuatan, sektor ekonomi lain serta kegunaan harian rakyat.
Beliau berkata, perancangan meningkatkan kapasiti utiliti perlu dilaksanakan secara seimbang supaya pertumbuhan pusat data tidak menjejaskan bekalan kepada pengguna domestik dan sektor ekonomi lain.
“Apabila berlaku lonjakan besar dari segi permintaan bekalan elektrik dan air, saya fikir kerajaan kini sedang meneliti strategi untuk menyediakan peruntukan khas bagi pembangunan tenaga dan pengeluaran air bersih. Perkara itu sudah dibincangkan di peringkat kerajaan ketika ini,” katanya selepas merasmikan Simposium Teknikal IEM-CDL Academy 2026, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia merekodkan RM385.7 bilion pelaburan berkaitan pusat data antara 2021 hingga separuh pertama 2026 dengan kira-kira 4.6 gigawatt (GW) kapasiti dirancang atau sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, kejayaan pembangunan pusat data tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu turut mengambil kira peningkatan keupayaan rakyat dan industri tempatan.
Katanya, langkah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam merancang pertumbuhan pusat data secara lebih tersusun serta tidak mengganggu bekalan kepada pengguna sedia ada.
“Pengguna biasa adalah untuk kegunaan domestik dan industri lain, kerana ekonomi tidak boleh hanya bergantung kepada pusat data, walaupun kita tahu pusat data penting dan mampu memberi sumbangan besar tetapi kita juga tidak boleh mengorbankan industri lain yang selama ini telah membangunkan ekonomi negara,” katanya.
Datuk Seri Alexander berkata, tarikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan pusat data antara lain berkait rapat dengan keyakinan pelabur terhadap kestabilan, tadbir urus, peraturan dan undang-undang negara.
Beliau berkata, cabaran kini bukan sekadar menarik pelaburan pusat data, tetapi memastikan infrastruktur asas negara berkembang seiring dengan kadar pertumbuhan permintaan baharu.