Dua maut, kilang penapisan minyak di Moscow rosak akibat serangan dron

Kemudahan di kawasan kilang penapisan minyak Moscow rosak akibat serangan dron/ REUTERS

MOSCOW, 20 September – Serangan dron besar-besaran menyasarkan Moscow dan kawasan sekitarnya pada Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya dua individu serta merosakkan sebuah kilang penapisan minyak utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa memintas lebih 1,600 dron, termasuk 450 yang menyasarkan ibu negara.
  • Pegawai mendakwa Ukraine cuba mengganggu proses pilihan raya yang dikawal ketat.
  • Kebakaran selepas dron terhempas menyebabkan kira-kira 400 orang dipindahkan dari bangunan 21 tingkat.
  • Pilihan raya hanya membenarkan parti penyokong Putin dan pengundian turut diadakan di wilayah Ukraine yang diduduki.

Menurut pihak berkuasa Rusia serangan itu berlaku pada hari terakhir pilihan raya Parlimen Rusia yang berlangsung selama tiga hari.

Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin menerusi kenyataan Telegram memaklumkan, lebih 1,600 dron telah dipintas dan ditembak jatuh, termasuk 450 yang menyasarkan ibu negara.

Beliau mendakwa Ukraine cuba mengganggu proses pilihan raya yang dikawal ketat itu dan mendakwa serangan berkenaan bertujuan mengganggu pengundian.

“Serangan yang belum pernah berlaku sebelum ini jelas dirancang dengan tujuan mengganggu pilihan raya. Musuh tidak berjaya,” menurut kenyataan itu.

Gabenor Wilayah Moscow, Andrey Vorobyov, berkata sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di dua lokasi berasingan, masing-masing seorang wanita berusia 44 tahun dan seorang lelaki warga emas.

Kebakaran yang tercetus selepas sebuah dron terhempas ke sebuah bangunan setinggi 21 tingkat turut menyebabkan kira-kira 400 orang dipindahkan, katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan asal dron berkenaan. Serangan itu berlaku ketika Ukraine meningkatkan kempen serangan dron jarak jauh terhadap Rusia sejak beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya menyasarkan infrastruktur tenaga yang menjadi antara sumber pendapatan penting Kremlin untuk membiayai perang.

“Sebahagian kemudahan di kawasan Kilang Penapisan Minyak Moscow mengalami kerosakan,” menurut Sobyanin, sambil menambah tiada kematian dilaporkan di ibu negara setakat itu dan perkhidmatan kecemasan berada di lokasi kejadian.

Kilang penapisan utama itu sebelum ini turut menjadi sasaran serangan Ukraine dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Serangan terbaharu berlaku beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Rusia dan Ukraine bersetuju untuk tidak menyasarkan kemudahan tenaga antara satu sama lain.

Sementara itu, rakyat Rusia mula mengundi pada Jumaat dalam pilihan raya Parlimen pertama sejak Moscow menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022, konflik yang menurut laporan telah mengorbankan ratusan ribu orang.

Hanya parti yang menyokong Presiden Rusia Vladimir Putin dan kempen ketenteraan Kremlin didaftarkan untuk bertanding dalam pilihan raya berkenaan, manakala Rusia turut menganjurkan pengundian di wilayah Ukraine yang didudukinya.

Parti pemerintah, United Russia, dijangka mengekalkan penguasaannya, dengan pilihan raya itu turut dilihat sebagai ukuran sokongan awam terhadap perang di Ukraine.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.