
BATU KAWAN, 19 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mempergiat sesi libat urus bagi memuktamadkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang menjelang hujung tahun ini.
- KPDN mempergiat libat urus untuk memuktamadkan RUU E-Dagang menjelang hujung tahun.
- Kabinet memutuskan memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan menggantinya dengan akta baharu lebih menyeluruh.
- Penyelarasan dijalankan bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
- Dua jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti bidang kuasa kementerian serta mekanisme kawal selia platform e-dagang.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu susulan keputusan Kabinet untuk memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan menggantikannya dengan akta baharu yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata penyelarasan kini dijalankan bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
“Matlamat kita ialah memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada dan menggantikannya dengan satu akta baharu.
“Akta sedia ada hanya memberi pengiktirafan kepada urus niaga elektronik, manakala aspek kawal selia termasuk perlindungan pengguna kini menggunakan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna,” katanya ketika ditemui pada Festival Pengguna 2026 (Confest 2026) di Stadium Batu Kawan di sini, hari ini.
Datuk Armizan berkata sudah tiba masanya Malaysia mempunyai undang-undang khusus bagi mengawal selia aktiviti e-dagang, termasuk aspek perlindungan pengguna.
Bagi mempercepatkan proses penggubalan, dua jawatankuasa khas turut ditubuhkan dan masing-masing dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN serta beliau sendiri.
Katanya, antara perkara yang sedang dihalusi ialah pembahagian bidang kuasa antara kementerian dengan agensi berkaitan serta mekanisme kawal selia platform e-dagang.
Kerajaan sebelum ini menyatakan hasrat mempercepat penggubalan RUU E-Dagang bagi memperkemas kawal selia dan pertanggungjawaban platform, penjual serta pengguna, memandangkan Akta Perdagangan Elektronik 2006 tidak menyediakan kerangka perundangan yang komprehensif untuk mengawal selia pelbagai aspek e-dagang.