
PETALING JAYA, 19 September – Pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bakal menikmati manfaat dan perlindungan lebih baik sehingga RM25,000 menerusi pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 yang berkuat kuasa 1 Oktober ini.
- Elaun Bekerja Semula Awal dinaikkan daripada 25 peratus kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan yang belum dibayar.
- Elaun Bantuan Mobiliti RM1,000 sekali bayar diperkenalkan untuk pencarum yang berpindah lebih 100 kilometer bagi pekerjaan baharu.
- Elaun latihan dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sehari dan had maksimum fi latihan meningkat daripada RM4,000 kepada RM7,000.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penambahbaikan itu merangkumi peningkatan beberapa kadar faedah bagi membantu pencarum yang kehilangan pekerjaan mendapatkan pekerjaan baharu, meningkatkan kemahiran serta menangani kos berkaitan perpindahan.
“Skim ini sangat penting kerana 87 peratus pekerja mencarum, manakala 13 peratus lagi saya harap mengambil peluang ini untuk melindungi diri dan keluarga.
“Apabila berlaku kemalangan atau sesuatu perkara di luar jangkaan, mungkin sudah terlambat untuk menyesal. Dengan kos yang kecil, kita mempunyai peluang untuk melindungi diri dan orang yang disayangi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Mega Festival iLINDUNGu PERKESO di sini, hari ini.
Antara perubahan utama menerusi pindaan tersebut ialah peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) daripada 25 peratus kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan yang belum dibayar.
Selain itu, Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar diperkenalkan kepada pencarum yang memperoleh pekerjaan baharu yang memerlukan mereka berpindah melebihi jarak 100 kilometer dari kediaman.
Datuk Seri Ramanan berkata, kadar Elaun Latihan turut dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sehari, manakala had maksimum fi latihan meningkat daripada RM4,000 kepada RM7,000.
Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan itu diluluskan Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh perlindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan serta menambah baik tadbir urus SIP.
SIP yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan, termasuk elaun mencari pekerjaan, bantuan penempatan pekerjaan serta peluang mengikuti latihan bagi meningkatkan kemahiran.
Penambahbaikan faedah itu dilihat dapat membantu pencarum menghadapi tempoh peralihan pekerjaan dengan lebih baik, selain memberi sokongan kepada mereka untuk kembali ke pasaran kerja dalam tempoh lebih singkat.
Dalam pada itu, Mega Festival iLINDUNGu PERKESO turut menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan perlindungan sosial dan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
Sebanyak 25 majikan menyertai festival berkenaan dengan menawarkan kira-kira 2,000 kekosongan pekerjaan dengan gaji antara RM2,000 hingga RM12,000.