
NEW YORK, 19 September – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam sekeras-kerasnya serangan bom bunuh diri di sebuah kompleks polis di Kohat, barat laut Pakistan pada Jumaat.
- Setiausaha Agung Guterres menggesa pihak bertanggungjawab dikenal pasti, dipertanggungjawabkan dan dibawa ke muka pengadilan; PBB nyatakan solidariti kepada Pakistan.
- Serangan membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan mencederakan 57; lima anggota polis antara yang terbunuh, beberapa mangsa kritikal.
- Penyerang merempuh kenderaan sarat bahan letupan ke dinding kompleks, diikuti tembakan; tujuh penyerang dilaporkan terbunuh, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres melalui jurucakapnya Stephane Dujarric berkata, serangan terbabit menyasarkan orang awam yang sedang beribadat selain, mengulangi pendirian bahawa keganasan terhadap orang awam tidak boleh diterima.
“Beliau (Guterres) turut menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti, dipertanggungjawabkan dan dibawa ke muka pengadilan.
“Guterres turut menyatakan solidariti beliau serta PBB kepada rakyat dan kerajaan Pakistan dalam usaha menangani keganasan dan ekstremisme,” tegasnya.
Dalam serangan bom bunuh diri itu, sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala 57 lagi cedera ketika anggota polis dan keluarga mereka sedang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid.
Ketua Polis Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Zulfikar Hameed berkata, penyerang merempuh kenderaan yang sarat dengan bahan letupan ke dinding luar kompleks, sebelum beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan.
Lima anggota polis antara yang terbunuh dalam serangan itu.
Kesemua tujuh penyerang dilaporkan terbunuh dalam letupan dan pertempuran senjata yang berlaku selepas itu.
Rakaman yang dikongsi pasukan penyelamat menunjukkan sebahagian dinding kompleks musnah akibat letupan.
Manakala, orang awam dan petugas kecemasan berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Kohat terletak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kawasan yang bersempadan dengan Afghanistan dan menyaksikan peningkatan serangan kumpulan militan sejak kebelakangan ini.-REUTERS