ECRL dijangka memulakan operasi seawal pertengahan Disember

Foto RTM

GOMBAK, 18 September – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memulakan perkhidmatannya lebih awal, pada pertengahan Disember 2026, berbanding sasaran asal, iaitu Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha mempercepatkan operasi supaya perkhidmatan boleh digunakan sempena musim cuti sekolah akhir tahun.
  • Pengujian dan pentauliahan berjalan lancar dengan penggunaan Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT).
  • Pembukaan perkhidmatan tertakluk kepada keputusan muktamad dan pengumuman rasmi Kementerian Pengangkutan.
  • Keselamatan dan standard teknikal diberi keutamaan tertinggi tanpa sebarang kompromi walaupun mengejar tarikh pembukaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, langkah mempercepatkan pengoperasian ini diambil bagi membolehkan perkhidmatan berkenaan digunakan sempena musim cuti sekolah akhir tahun ini.

Perkembangan positif itu didorong oleh kelancaran proses pengujian dan pentauliahan yang dijalankan menggunakan Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT).

“Keseluruhan perjalanan ujian ECRL setakat ini berjalan lancar. Kita sebenarnya berada pada trajektori yang betul untuk siap sepenuhnya menjelang Disember dan memulakan operasi pada Januari 2027.

“Namun, kita sedia menyahut cabaran kerajaan untuk membuka laluan ini lebih awal pada Disember sempena cuti sekolah, dan seluruh usaha kami kini tertumpu sepenuhnya ke arah itu,” katanya ketika ditemui wartawan sejurus selesai sesi lawatan media di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak disini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pembukaan perkhidmatan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan muktamad dan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan.

Menurut Datuk Seri Darwis, fasa pertama ujian yang melibatkan jajaran dari Kuantan ke Kota Bharu telah dimulakan sejak 25 Ogos lalu, manakala ujian fasa kedua dari Kuantan ke Gombak kini sedang berjalan.

Menerusi sesi ujian integrasi sistem baru-baru ini, tren CIT yang bergerak dari Kuantan Port City ke Stesen ECRL Gombak merekodkan masa perjalanan sekitar 90 minit sahaja.

Perjalanan tersebut turut menyaksikan tren melintasi Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer pada kelajuan purata 160 kilometer sejam, yang hanya mengambil masa 6 minit 28 saat.

Dalam pada itu, Datuk Seri Darwis memberi jaminan bahawa keutamaan tertinggi tetap diberikan kepada aspek keselamatan dan standard teknikal, biarpun pihak MRL sedang berusaha memenuhi sasaran pembukaan lebih awal.

“Walaupun kita komited mengejar tarikh pembukaan awal ini, aspek keselamatan tidak sekali-kali diabaikan. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan paling atas dan tiada kompromi dalam hal ini,” tegas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.