
PETALING JAYA, 18 September -Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Pembedahan Toraks dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) Ke-26 2026 menjadi platform untuk memperkukuh perkongsian ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam bidang pembedahan kardiotorasik, selain memastikan ia dapat diterjemahkan kepada peningkatan amalan klinikal dan penjagaan kesihatan.
- Perkukuhan hubungan antara pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan amalan klinikal bagi menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian berfaedah kepada masyarakat.
- Mengukuhkan pembangunan pasukan dan latihan melalui pendidikan bersepadu, membina profesional cemerlang teknikal serta berkemahiran kerjasama, penyesuaian dan pembelajaran sepanjang hayat.
- Menunjukkan fokus pada inovasi dan amalan klinikal seperti pembedahan toraks invasif minimum, pembedahan aorta kompleks serta pemerkasaan pesakit dan kolaborasi industri.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata hubungan antara pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan amalan klinikal perlu terus diperkukuh bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata universiti dan hospital pengajar memainkan peranan penting dalam menghasilkan pengetahuan baharu, melahirkan bakat berkualiti serta memastikan kemajuan bidang perubatan dapat dimanfaatkan dalam penjagaan kesihatan.
”Mendidik Pasukan” mengingatkan kita bahawa penjagaan kesihatan moden merupakan satu usaha berpasukan.
“Kecemerlangan bergantung kepada kerjasama antara pakar bedah, doktor, jururawat, profesional kesihatan bersekutu, penyelidik, dan ramai lagi.
“Oleh itu, kita mesti terus membina profesional yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknikal, malah turut mempunyai semangat kerjasama, keupayaan menyesuaikan diri, serta komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat”, katanya ketika merasmikan mesyuarat berkenaan disini.
Mesyuarat anjuran Universiti Malaya (UM) itu menghimpunkan pakar bedah kardiotorasik, pelatih serta rakan industri dari dalam dan luar negara bagi berkongsi perkembangan, pengalaman serta kepakaran dalam bidang berkenaan.
Antara fokus utama persidangan ialah perkembangan terkini dalam pembedahan toraks invasif minimum, pembedahan aorta kompleks dan latihan pembedahan, selain mengetengahkan inovasi, pembangunan pasukan perubatan dan pemerkasaan pesakit.
Platform berkenaan turut memberi ruang kepada golongan profesional dan pelatih untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan teknologi serta pendekatan baharu dalam bidang pembedahan kardiotorasik, selaras dengan keperluan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Perkembangan Program Sarjana Pembedahan Kardiotorasik yang dilancarkan tahun lepas turut diketengahkan pada mesyuarat itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan kepakaran dan melahirkan generasi baharu pakar pembedahan kardiotorasik negara.
Mesyuarat berkenaan juga mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, hospital pengajar, pengamal perubatan, penyelidik dan industri dalam membangunkan ekosistem kesihatan yang berasaskan ilmu, inovasi dan amalan klinikal.