
JAKARTA, 18 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh ahli parti supaya menjaga adab dan menghormati proses yang telah ditetapkan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
- UMNO menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Lembaga Pengampunan dan limpah ihsan Tuanku.
- Keputusan itu memberi kelegaan besar kepada Datuk Seri Najib dan keluarga, dihargai serta dikenang oleh parti.
- Zahid menegaskan penghormatan kepada institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang terus menjadi pegangan UMNO.
- Pengampunan membenarkan baki hukuman dijalani melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Beliau yang juga Presiden UMNO menzahirkan rasa syukur atas keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
“UMNO menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas keputusan yang telah dilakukan oleh Lembaga Pengampunan kerana limpah ihsan Tuanku.
“Keputusan ini membawa kelegaan yang amat besar buat Datuk Seri Najib dan keluarga beliau serta kami akan sentiasa mengenangnya dengan penuh penghargaan.
“Saya menyeru seluruh ahli UMNO agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang telah ditetapkan,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) ke-5 di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan UMNO.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib.
Keputusan itu membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta.