
KUALA LUMPUR, 18 September – Keadaan jerebu di beberapa kawasan di negara ini masih tidak menentu berikutan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga November.
- Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar, memakai pelitup muka sesuai serta memastikan pengambilan air yang mencukupi untuk kesihatan.
- Nasihat itu disampaikan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Alam Sekitar, Nor Aziah Jaafar dalam program Selamat Pagi Malaysia.
- Bacaan IPU menunjukkan 34 kawasan berada pada tahap tidak sihat, dengan Johan Setia, Klang mencatat IPU tertinggi 198.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Jabatan Alam Sekitar, Nor Aziah Jaafar berkata, susulan keadaan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan.
“Orang ramai juga disarankan untuk mengehadkan aktiviti di luar rumah, memakai pelitup muka yang sesuai, serta memastikan pengambilan air yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) setakat pukul 8.00 pagi, sebanyak 34 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Johan Setia, Klang, merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 198.