Belanjawan 2027: Peluang pekerjaan setimpal kelayakan graduan perlu diberi perhatian

Foto graduan UiTM/Foto UiTM Shah Alam

KUALA LUMPUR, 17 September – Peluang pekerjaan berimpak tinggi yang menawarkan pendapatan setimpal dengan kelayakan graduan antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesuaikan program pengajian institusi pengajian tinggi dengan keperluan pasaran kerja semasa untuk melahirkan graduan berkemahiran relevan.
  • Ambil kira perubahan teknologi dan penggunaannya dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
  • Teruskan bantuan pembiayaan secara bersasar kepada mahasiswa B40; pertimbangkan pengembangan kepada M40 dan T20 berdasarkan pendapatan dan kecemerlangan.

Pensyarah Kanan (Ekonomi), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Dr Mohd Khairi Ismail berkata program pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) juga perlu disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan graduan dilengkapi kemahiran yang relevan dan memenuhi keperluan industri.

“Kita lihat dari segi kemahiran dan peluang pekerjaan, ia perlu lebih disesuaikan dengan keadaan akademik dan keperluan pasaran semasa.

“Kita tidak mahu graduan dibayar gaji yang tidak bersesuaian dengan pekerjaan mereka. Jadi, kita memerlukan pelaburan yang lebih baik untuk mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Mohd Khairi berkata perubahan teknologi dan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor juga perlu diambil kira dalam usaha meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk graduan.

Dalam pada itu, beliau berkata bantuan pembiayaan secara bersasar kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah perlu diteruskan.

Menurutnya, bantuan berkenaan juga boleh dipertimbangkan untuk diperluas kepada golongan M40 dan T20 berdasarkan tahap pendapatan serta kecemerlangan akademik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.